SAHABAT MADRASAH

Jumat, 23 Maret 2012

Asas tenaga nuklear disebut dalam al-Quran

maulanasufi
KERADIOAKTIFAN telah wujud secara semula jadi, tetapi perkara itu tidak diketahui sehinggalah akhir kurun ke-19, sedangkan di dalam al-Quran, sudah ada satu surah dikenali al-Hadid, yang memperkatakan mengenainya.


Istilah al-Hadid merujuk kepada logam besi. Di dalam keadaan semula jadi, besi wujud sebagai satu sebatian dengan logam dan galian lain, antaranya logam radioaktif seperti uranium, plutonium dan radium.


Apa yang menarik ialah firman Allah dalam ayat 25 Surah al-Hadid yang bermaksud: Pada besi itu, terdapat kekuatan yang amat kuat yang boleh memusnahkan manusia."


Kejadian letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki membuktikan kebenaran ayat ini sebagai bukti kekuasaan Allah yang menjadikan pada besi itu kekuatan yang terlalu besar. Setengah kilogram uranium dapat menghasilkan tenaga haba satu megawatt sehari. Bayangkanlah, jika sebuah negara itu mempunyai berjuta tan uranium yang disimpan untuk tujuan peperangan nuklear.


Hakikat keradioaktifan hanya diketahui pada akhir kurun ke-19 membabitkan dua perkara besar yang berlaku ketika itu, yang membenarkan penemuan radioaktif. Pertama, sinar-X yang ditemui pada 1985 oleh Wilhem Konrad Rontgen, yang didapati berupaya menghasilkan pendarflour pada kaca tiub sinar-X. Kedua, kajian oleh Henri Becquerel, yang mendapati bahawa, apabila kalium uranil sulfat diuja oleh sinaran ultra ungu, ia akan menghasilkan pendarflour.


Pengetahuan selanjutnya mengenai keradioaktifan diperluaskan oleh Pierre dan Marie Sklodowska Curie pada 1989. Marie Curie mendapati sinaran uranium yang dilaporkan oleh Becquerel juga boleh didapati daripada garam torium. Dalam kajiannya, suatu unsur baru yang menghasilkan keradioaktifan yang tinggi dijumpai daripada proses pemisahan menggunakan bijih uranium hingga mewujudkan satu sinaran yang sama sifat dengan sinar-X.


Kajian Earnest Rutherford mengenai daya penembusan sinar radioaktif, menunjukkan wujud tiga jenis sinaran, iaitu yang dapat diserap oleh kepingan alumunium nipis dinamakan alfa (a), yang dapat diserap oleh beberapa kepingan alumunium ialah beta (B), manakala yang tidak diserap dalam kedua-kedua bahan sebagai gamma (Y).


Sejak itu, pelbagai jenis kajian dilakukan oleh saintis untuk memahami sinaran radioaktif. Sifat sinaran seperti cas dan jisim diukur. Kini, sifat bahan dan sinaran radioaktif boleh diketahui dan difahami melalui beberapa kaedah dan teori tindak balas nukleus, tindak balas antara sinaran dan jisim, dan pereputan radioaktif hingga dapat menerangkan hampir segala fenomena yang ditemui.


Apabila stesen kuasa nuklear pertama dibuka pada 1950-an, teknologinya dianggap sebagai salah satu pencapaian besar dalam sains moden. Hari ini, banyak orang berpendapat, usaha membuat kuasa nuklear adalah kesilapan yang akan menimbulkan masalah besar bagi planet dan manusia. Namun, dengan pengendalian berhati-hati, ia boleh memberi manfaat.


Sebenarnya, masih ada harapan kuasa nuklear digunakan secara selamat dan terkawal. Kuasa ini banyak kegunaannya dalam bidang perubatan. Kemajuan berterusan bermakna kita boleh mengesan dan merawat penyakit serius termasuk barah.


Banyak perkara menakutkan mengenai tenaga nuklear. Sesetengah orang menyebutnya sebagai 'tenaga yang bukan semulajadi', sungguhpun cahaya dan haba yang diterima setiap hari daripada matahari, adalah hasil tindak balas termonuklear.


Kita harus benar-benar memahami sifat tenaga nuklear dan teknologi moden yang digunakan untuk memanfaatkannya. Kita harus belajar daripada kesilapan lalu dan jangan membiarkan rasa takut menghalang kemajuan. Satu perkara yang pasti ialah, kita sekarang hidup dalam apa yang dikatakan sebagai 'zaman nuklear'.


Jantung sebuah stesen kuasa nuklear terletak pada reaktornya. Berlaku satu tindak balas pembelahan nuklear terkawal yang menghasilkan banyak haba. Haba ini dibawa jauh oleh satu bahan pendingin yang beredar melalui teras reaktor dan digunakan untuk menjana stim dan kemudian memacu turbin untuk menjana tenaga elektrik.


Kuasa nuklear menghasilkan 15 peratus kuasa elektrik yang dijanakan di dunia. Pada sesetengah negara, reaktor penyelidik hanya menyediakan sedikit sumbangan pada bekalan elektrik. Pada negara lain pula, kuasa nuklear adalah sumber tenaga elektrik yang utama. Pada stesen kuasa elektrik, satu tan uranium yang digunakan sebagai bahan api untuk reaktor nuklear, menghasilkan sama banyak tenaga dengan 20,000 tan arang batu yang dibakar.


Selepas keghairahan awal tentang tenaga nuklear berkurangan, kita sedar bahawa kuasa ini memerlukan kawalan yang berhati-hati dan mahal bagi memastikan keselamatan awam di samping beberapa masalah jangka panjang. Sumber lain, terutamanya pembakaran bahan fosil, mempunyai masalah tersendiri. Lagipun, bahan api fosil tidak kekal dan mungkin akan kehabisan menjelang pertengahan abad akan datang. Jika kita mahu terus menggunakan tenaga, maka kita terpaksa bergantung kepada sumber alternatif.


Kuasa nuklear adalah salah satu alternatif yang mempunyai potensi untuk digunakan. Namun, kita harus mengambil langkah selamat untuk memastikan tidak berlaku kesan sampingan tidak diingini. Kegunaan sinaran dalam bidang lain agak kurang menimbulkan perbalahan, terutama dalam bidang perubatan. Tiada sesiapapun yang boleh mengenepikan kemajuan diagnosis dan rawatan yang dicapai oleh perubatan nuklear.

Sabtu, 10 Maret 2012

Cara Mandi Mayat

maulanasufi

Cara Mandi

Sebelum Mandi
  1. Dibersihkan najis mayat (meruang) dan membersihkan segala kekotoran atau getah, cat, plaster dan sebagainya yang terlekat pada badan atau kuku mayat. Hendaklah mengosongkan perut terlebih dahulu - kalau ada benda-benda kotor yang boleh keluar, supaya tidak lagi keluar sesudah ia dimandi dan dikafankan.
          
    Caranya: Dudukkan mayat (di atas papan mandi) dalam keadaan condong sedikit ke belakang, dan menahan belakangnya dengan lutut kanan sambil memegang belikatnya dengan tangan kanan (dengan meletak ibu jari di tengah-tengah tengkuknya supaya kepalanya tegak), dan urut perutnya perlahan-lahan dengan tangan kiri.
    Siram air banyak-banyak untuk membersihkan benda-benda yang keluar.
    Setelah dikosongkan perut dan dbersihkan benda yang keluar, hendaklah ditelentangkan semula mayat itu di atas papan mandi dan dicebokkan oleh orang yang memandikannya dengan membersihkan kemaluan dan celah-celahnya (menggunakan sarung tangan).
  2. Dengan sarung tangan bersih, tukang mandi hendaklah membersihkan gigi mayat, lubang hidunganya, lubang telinga dan celah-celah kukunya. Kemudian diwudhu'kan dengan sempurna (meliputi yang fardhu dan sunat). Setelah itu baru dimandikan - dari bahagian kepala hingga ke hujung kaki - meliputi seluruh tubuhnya.
Cara Mandi
  1. Basuh seluruh kepala, muka dan lehernya 3 kali.
  2. Basuh sebelah kanan (lambung kanan) meliputi bahu, ketiak, tangan kanan, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kanan hingga ke hujung kaki kanan 3 kali.
  3. Basuh sebelah kiri (lambung kiri) meliputi bahu, ketiak, tangan kiri, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kiri hingga ke hujung kaki kiri 3 kali.
  4. Kemudian diiringkan rusuk kanan ke atas dan basuh lambung kanannya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kanan dan terus ke hujung kaki kanannya 3 kali.
  5. Kemudian diiringkan rusuk kiri ke atas dan basuh lambung kirinya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kiri dan terus ke hujung kaki kirinya 3 kali.
  6. Cara mandi ini pertama dibuat dengan menggunakan air sabun.
    Kemudian dimandikan dengan air bersih, dilakukan seperti cara mandi dengan sabun, tujuannya untuk membersihkan segala air sabun tadi. 
         
    Setelah bersih, diwudhu'kan dengan niat,
    " Sahaja aku wudhukan mayat ini kerana Allah"
    Lafaz niat bagi lelaki:
    "Nawaitul wudhu 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
    Lafaz niat bagi perempuan:
    "Nawaitul wudhu' 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"
    Kemudian mandi dengan air bercampur kapur barus. Caranya air bersih dicampur sedikit air kapur barus yang sekira-kiranya tidak mengubah hukum air mutlak, kemudian dijirus sunat diniatkan:
    " Sahaja aku mandi mayat ini kerana Allah Taala" 
    Lafaz niat bagi lelaki:
    "Nawaitul ghusl 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
    Lafaz niat bagi perempuan:
    "Nawaitul ghusl 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"
    Proses mandi ini sama juga seperti mandi dengan air sabun dan air bersih yang lalu. Kemudian ulang 2 kali dengan menambah kapur barus lebih tua sedikit supaya baunya lebih keras. 
    Semasa menjirus, sunat membaca:
          "Ghufranak rabbana rahman wailakal masir"                                        
    Jadi hasilnya jumlah mandi mayat kesemuanya lima kali iaitu :
    . Satu kali mandi dengan air sabun.
    . Satu kali mandi dengan air bersih.
    . Tiga kali mandi dengan air kapur barus.
    Perlu diingat perbuatan membasuh mayat dengan air bercampur sabun (atau serbuk daun bidara) kemudian membilasnya, tidak dikira. Itu hanya seperti membersihkan badannya.
    Yang diambil kira ialah mandi yang akhir, iaitu memandikan mayat dengan air yang dicampurkan sedikit kapur barus.

Kamis, 08 Maret 2012

CERITA KAABAH YANG RAMAI ORANG TAK TAHU....



Mekah merupakan tanah suci bagi umat Islam di mana berdirinya sebuah struktur hebat iaitu Kaabah yang menjadi tidak, lambang dan panduan qiblat untuk semua umat Islam di seluruh dunia. Berikut adalah 15 perkara tentang Kaabah dari sudut sains yang tidak diketahui ramai.

1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.


2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.

3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.


4. graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi.

5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.

7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.


8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itu lah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.

9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.

10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.


11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.

12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Ka abah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.

13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.

14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma(lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.

15. Selepas selesai semua itu baru lah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...