SAHABAT MADRASAH

Senin, 05 September 2011

FADHILAT MEMBACA SURAH AL-KAHFI PADA HARI JUMAAT


Soal : Adakah kelebihan membaca surah Al-Kahfi pada hari jumat ? :
Jawab : Al-Qur`an adalah kitab suci umat islam yang memiliki kelebihan dari seluruh kitab-kitab yang lain sebelumnya, membaca Al-Qur`an diniliai suatu ibadah yang besar walaupun orang tersebut tidak memahaminya, diantara surah-surah yang memiliki kelebihan dan keistimewaan dalam membacanya adalah surah Al-Kahfi, demikian juga surah Al-Kahfi memiliki kelebihan dan keistimewaan jika dibaca pada hari Jum`at.

Surah Al-Kahfi adalah surah Al-Makkiyah yang memiliki seratus sepuluh ayat, begitu banyak hadits-hadits yang telah menceritakan kelebihan surah ini, sebahagian hadits yang datang dari Rasulullah SAW adalah apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari didalam kitab Shahihnya :
قال البخاري : حدثنا عمرو بن خالد : حدثنا زهير : حدثنا أبو إسحاق،عن البراء قال : كان رجل يقرأ الكهف وإلى جانبه حصان مربوط بشطنين، فتغشته سحابة فجعلت تدنو وتدنو، وجعل فرسه ينفر، فلما أصبح أتى النبي صلى الله عليه وسلم قذكر ذلك له، فقال : تلك السكينة تنزلت بالقرآن. صحيح البخاري كتاب فضائل القرآن، باب فضل الكهف، ص : 898 ، ط : دار السلام للنشر والتوزيع، الرياض

Artinya : Seorang lelaki sedang membaca Surah Al-Kahfi, di sisinya seekor kuda yang terikat dengan dua tali, maka awanpun datang menyelubungi, mendekat dan menghampiri, sehingga kuda lari terkejut, manakala dipagi hari beliau mendatangi Nabi SAW, dan menceritakan kejadian tersebut, maka bersabda Nabi : Itu adalah ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Qur`an, ( H.R Bukhari, kitab Fadha`il Al-Qur`an, bab Fadhli Al-Kahfi, halaman : 898 .

قال البيهقي : أخبرنا محمد بن عبد الله الحاقظ، أنبأنا أبو بكر محمد بن المؤمل، ثنا الفضل بن محمد الشعراني، ثنا نعيم بن حماد، ثنا هشيم أنبأنا أبو هاشم عن أبي مجلز، عن قيس بن عباد، عن أبي سعيد الخدري ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة، أضاءله من النور ما بين الجمعتين. رواه البيهقي في السنن الكبرى في كتاب الجمعة، باب ماسؤمر به في ليلة الجمعة ويومها من كثرة الصلاة على رسول الله وقراءة سورة الكهف وغيرها ؟، مجلد 4، ص : 530 ط : دار الفكر

ِArtinya : Rasulullah bersabda: Barang siapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, Mkan Allah akan meneranginya dengan cahaya dari jum`at yang dia baca kepada jum`at yang brikutnya. ( H.R Baihaqi)


قال الحاكم : عن أبي بكر بن المؤمل: حدثنا الفضل بن محمد الشعراني، حدثنا نعيم بن حماد، حدثنا هشيم،حدثنا أبو هاشم، عن أبي مجلز عن قيس بن عباد ، عن أبي سعيد، عن النبي صلى الله عليه وسلم، أنه قال : من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة، أضاء له من النور ما بينه وبين الجمعتين، ثم قال : هذا الحديث صحيح الإسناد، ولم يخرجاه

Artinya : Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya diantara dua kali jum`at. ( H.R Hakim didalam Mustadrak)

قال السيوطي في الجامع الصغير : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : من قرأ سورة الكهف يوم الحمعة أضاءله النور ما بينه وبين البيت العتيق ( هب ) عن أبي سعيد، ورمزه بالحسن
Artinya : Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jum`at, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya diantaranya dan Bait `Atiq.

Ini sebahagian hadits yang menceritakan tentang kelebihan membaca surah Al-Kahfi.

marilah bersama-sama menghidupkan salah satu sunnah rasulullah ini.jom baca,harinikan hari JUMAAT

Fadhilat Datang Awal Ke Masjid Pada Hari Jumaat











Hadith :Nabi s.a.w bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah."

Abu Hurairah r.a

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Allah S.W.T telah melantik malaikat-malaikat yang khusus bagi mencatat kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunannya mulai dari awal waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.

ii) Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat adalah sangat-sangat diutamakan di dalam Islam. Oleh itu amat besarlah kerugian bagi orang yang terlewat (terlepas) daripada waktu catatan malaikat tersebut

Akhlak Anak-anak Kita Adalah Tanggungjawab Kita

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Akhir akhir ini kita melihat pelbagai gejala-gelaja sosial yang melibatkan anak-anak muda dan remaja terutamanya yg beragama Islam, sebagai contoh baru-baru ini saya ada menerima link video yang mengejutkan saya bertajuk ' budak sekolah diraba' (lebih kurang). tanpa segan silu budak-budak sekolah berani pemperlakukan sedemikian dan berani pula memperlihatkan wajah mereka yang tidak langsung memikirkan kesan pada keluarga mereka nanti.

Kalau diikutkan hati hendak saya kongsikan link itu disini dan post kan pada semua sahabat-sahabat, supaya nanti mungkin ada yang mengenal mereka, atau mungkin keluarga mereka sendiri ada disini dapat mendidik kembali anak-anak mereka yg terlibat ke jalan yang baik, tetapi memandangkan ia bakal mengundang aib dan malu pada keluarga mereka saya batalkan hasrat berkenaan.

Sahabat-sahabat yang saya hormati, 
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah S.W.T. yang cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.

Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia dan dirahmati serta diredai Allah S.W.T.

Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya“.

Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardu ain dan fardu kifayah.

Justeru itu, proses mendidik anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap ibu bapa, terutamanya dalam dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Diantara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh ialah :

1.  Sentiasa Berdoa Kepada Allah S.W.T.

Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali – Imran ayat 38 maksudnya : ”Ya Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doaku".

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah S.W.T. agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang sempurna dari segi fardu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat dan negara.

2.  Hendaklah Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak

Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.

3.  Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudat Ibadah

Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan jalinan hubungan dengan Allah S.W.T. sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya pada setiap masa.

Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah S.W.T. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anam ayat 162 maksudnya : “Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam “.

4.  Hendaklah Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak

Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar Nabi Muhammmad S.A.W. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah S.W.T. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :“Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia“.

5.  Memastikan Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal

Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat.

Firman Allah S.W.T.  dalam surah al-Baqarah ayat 168 maksudnya : ”Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu “.

Marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya.

Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah S.W.T. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna. Kelima-lima perkara yang telah disebut tadi amat penting diberi perhatian untuk membina insani yang sempurna dan merupakan modal insan yang akan memainkan peranan untuk anak-anak kita dalam membangun masyarakat dan negara. 



Mulakanlah Islam Dari Diri Kita

Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan :


1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh :


Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."
(Surah az-Zumar ayat 9)


Oleh itu sebagai seorang Muslim ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.


2.Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan :
Dr Muhammad Yasin dalam bukunya al-Iman menyebutkan bahawa keimanan mesti mencakupi dua faktor asasi . Pertama, pengakuan secara ilmu pengetahuan dan membenarkannya. Kedua, pengakuan secara amaliyah dengan mentaati apa yang telah diketahui dan diyakini. Oleh itu seorang Mukmin wajib melaksanakan keyakinannya dalam bentuk perbuatan dan tindakkan, iaitu ia perlu melaksanakan amal-amal soleh dalam kehidupannya.


Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam bukan sekadar tentera-tentera penunggang kuda di siang hari bahkan mereka melaksanakan ibadah seperti rahib-rahib yang khusyuk di malam hari. Rasulullah s.a.w. sendiri menunjukkan contoh tauladan yang baik, di siang hari memimpin tentera-tentera Islam, melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah, kemudian di malam hari melakukan qiyamulail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t.


3.Zikir dan fikir
Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya, sehingga hati selalu berhubung dengan Allah s.w.t.


Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Iman itu bertambah dan berkurang," lalu ia bertanya kepada baginda, "Apa gerangan ya Rasulullah, yang dapat menambah dan menguranginya?"
Jawab Rasulullah , "Jika kita mengingati Allah dan memuji-Nya, menyucikan-Nya dan bertasbih kepada-Nya, maka disitulah iman akan bertambah kualitinya. Manakala jika kita melupakan atau lalai kepada-Nya, maka disitulah iman kita berkurang,"


Kefahaman yang mendalam terhadap zikrullah inilah menyebabkan Abdullah bin Rawahah memegang tangan seorang sahabatnya seraya berkata, "Bangkitlah sejenak bersama kami, marilah duduk di majlis zikir."


Fikir pula adalah aktiviti yang mengarah kepada renungan ciptaan Allah dengan memikirkan apa yang ada pada ciptaan-Nya, memandang tanda-tanda kebesaran-Nya, mukjizat-Nya, sehingga bertambah keimanan kepada Allah dan merasakan keagongan-Nya dan kekuasaan-Nya. Aktiviti seperti ini disebut sebagai tafkir dan i'tibar. Kepekaan pancaindera terhadap ciptaan Allah walau hanya secara garis kasarnya saja sudah cukup memberi kesan akan keagungan sifat dan perbuatan Allah. Ini jelas akan mempengaruhi tahap keimanan dan seterusnya, pasti tahap komitment kita.

Adab-adab Tidur Dalam Islam

Sesungguhnya seorang muslim memandang tidur sebagai nikmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirahat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari karunia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya”.
(Suah Al-Qoshos ayat 73).


Dan Firman Allah s.w.t yang bermaksud , “Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat”
(Surah An-Naba ayat 9).


Adab-adab Tidur


Tidur seorang hamba pada waktu malam setelah segala aktiviti yang dilakukannya pada siang hari, akan membantu tubuhnya menjadi segar untuk boleh melakukan aktiviti pada esok hari, juga akan membantu tubuhnya lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Maka dengan nikmat yang besar ini hendaknya seorang muslim bersemangat untuk menjaga tuntunan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam masalah adab-adab yang berkaitan dengan tidur. Di antara adab tersebut adalah:


1. Tidak mengakhirkan tidur setelah melakukan solat isya kecuali kerana perkara yang penting untuk dilakukan seperti mempelajari ilmu atau menjamu tamu atau untuk melayani keluarga. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah bahwasanya Nabi s.a.w. tidak menyukai tidur sebelum solat isya dan berbincang-bincang setelahnya.


2. Tidur dengan berwudhu terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w : “Apabila kamu hendak tidur maka berwudhulah sebagaimana wudhu untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


3. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.


4. Tidak tidur dengan meniarap, berdasarkan sabda Nabi s.a.w, “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.
(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)


5. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


6. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali.
(Hadis Riwayat Bukhari).


7. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah, seperti membaca do’a “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


8. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda beliau kepada Ali bin Abi Thalib dan istrinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali”
(Hadis Riwayat Bukhari).


9. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200.
(Hadis Riwayat Bukhari).


10. Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah s.w.t. kerana saat itu adalah saat yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berdzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya”
(Hadis Riwayat Abu Dawud).


11. "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi. "
(Hadis Riwayat Muslim).


12. Ketika bangun tidur hendaknya membaca doa, “Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur (Segala puji bagi Allah yang telah membangkitkan kami dari mati (tidur) dan hanya kepada-Nya semuanya kembali)”
(Hadis Riwayat Bukhari).


Demikianlah beberapa adab tidur yang dituntunkan oleh Nabi kita Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk senantiasa mengamalkannya, mengikuti sunnah Nabi-Nya sehingga tidur kita tidak sekedar rutin harian untuk pemenuhan keperluan jasmani, namun juga merupakan kenikmatan yang bernilai ibadah dan membuahkan pahala di sisi Allah. Wallahu a’lam.

Adab-adab Menuntut Ilmu


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amalan di dalam Islam terdapat adab-adab yang perlu dipatuhi kerana adab adalah umpama roh kepada jasad. Tanpa roh jasad tidak akan berfungsi dan akan mati. Oleh itu patuhilah segala adab-adab yang dinyatakan di dalam Islam supaya amalan kita mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Menuntut ilmu adalah wajib dan amalan yang sangat mulia. Tanpa ilmu seorang itu tidak mungkin akan menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, kerana ilmu adalah perkara yang paling penting untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan tidak mudah ditipu oleh iblis laknatullah.

Terdapat sembilan adab-adab menuntut ilmu yang perlu dipatuhi semoga ilmu yang kita pelajari menjadi ilmu yang bermanfaat dan diberkati oleh Allah SWT. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Niat yang ikhlas.

Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya.

Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman.

Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri.

Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah : "Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun".

Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

Kedua : Tekun berusaha dan bertawakal.

Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi dengan sentiasa membaca dan mengulangkaji pelajaran tanpa jemu.

Nasihat ataupun tazkirah akan melembutkan hati kita kepada Allah SWT. Perlu dihidupkan hati ini supaya sentiasa takut kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Saff yang bermaksud : "Dan ingatlah ketika mana Nabi Musa berkata kepada kaumnya :'Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?'. Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik."

Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.

Kita hendaklah mencontohi ulama-ulama silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.

Ketiga : Menjauhi maksiat.

Kita mestilah menghidupkan budaya amar makruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa.

Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya. Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.

Keempat : Memilih teman yang soleh.

Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.

Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.

Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka.

Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud : "Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertakwa".

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud maksudnya  : "Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman".

Kelima : Banyakkan zikrullah.

Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat.

Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat setiap hari kerana ia merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.


Keenam : Menjaga kehormatan.

Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala keaiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.

Firman Allah SWT dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan perasaan-prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."


Ketujuh :  Mendapat doa dan keredaan ibu bapa.

Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa terhadap kita. 

Firman Allah SWT dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan “ah” dan janganlah kamu mengertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : 'Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil'."

Kelapan : Menghormati guru.

Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana Imam As-Syafi’e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab’adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya Imam Malik kerana menghormati gurunya. 

Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.

Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

Kesembilan : Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi.

Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala.

Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.

Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.

Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. 

Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya. Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Saff yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan sembilan adab-adab untuk menuntut ilmu seperti yang dinyatakan diatas. Keberkatan dan keberkesanan sesuatu ilmu adalah sejauhmana kita mematuhi adab dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam. Perlu diingat keluar saja kita daripada rumah untuk menuntut ilmu yang bermanfaat umpama kita berjihad dijalan Allah SWT. Sentiasa dinaungi oleh para malaikat dan setiap langkah akan diberikan pahala dan mendapat doa semua makhluk dibumi termasuk ikan-ikan diair.

Adab Makan dan Minum Mengikut Sunnah Nabi

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan sebagai pembawa rahmat (kebaikan) kepada sekalian alam. Nabi s.a.w banyak mengajarkan kita tentang cara hidup seharian yang bersendikan kepada 'aqidah dan ibadah', sejak kita mula bangun pagi, masuk tandas, makan dan minum, memakai pakaian, menaiki kenderaan, mula bekerja, pulang kerumah, berehat dan tidur.

Sukatan makan dan minum yang menjadi panduan hidup orang Mukmin adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang maksudnya : "Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang."

Nabi s.a.w tidak makan sebelum baginda merasa lapar dan lebih dahulu berhenti sebelum sampai ke tahap kenyang atau merasa puas.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa adab-adab makan dan minum cara Nabi s.a.w untuk menjadi panduan kita semua untuk mendapat keberkatan di sisi Allah s.w.t  dengan mengikut sunnah baginda.

Pertama : Membasuh tangan sebelum makan.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Turmudzi).

Dari Sayyidah Aisyah r. 'anha bahawa Rasulullah s.a.w apabila berjunub, maka baginda berwudhu' (seperti wudhu') untuk solat dan apabila baginda ingin makan baginda membasuh kedua tangannya (lebih dahulu).

Kedua : Membaca Bismillaah. (Bismillahirahmanirrahim)

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu."
Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu."
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)"
 (Hadis Riwayat Muslim)


Nabi s.a.w telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Membaca do'a makan.


 Sabda Nabi s.a.w, yang maksudnya :
"Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar.
maksudnya : Ya Allah, berkahilah rezeki  yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa Neraka." (Hadis Riwayat Ibnu As-Sunni)

Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah satu do'a yang diajar oleh Nabi s.a.w. bila hendak makan: 'Allahumma barik lana fihi wa ath ighmna khairan minhu', maksudnya: "Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripadanya."

Keempat : Makan dan minum dengan tangan kanan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : "Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya."
 (Hadis Riwayat  Muslim).

Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia menyerupanya. Termasuk juga apabila kita mengambil lauk pauk di dalam majlis hendaklah menggunakan tangan kanan bukan  tangan kiri kerana adat melayu yang mengambil lauk tangan kiri (takut sudu kotor) adalah tidak ikut sunnah. 


Kelima : Makan makanan yang mengiringi (makanan yang terdekat)



Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "..dan makanlah (dengan memulakan makan) makanan yang mengiringi engkau."
(Hadis Riwayat Bukhari).


Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu menyebut nama Allah (dikala hendak makan) dan hendaklah setiap orang (mula) makan makanan yang mengiringinya."
(Hadis Riwayat Bukhari)


Maksud makanan yang mengiringi adalah makanan yang terdekat kerana menjadi adab Islam mengutamkan makanan yang berdekatan daripada mengambil makanan yang berdekatan dengan rakannya. Selepas itu barulah ia mengambil makanan yang jauh sedikit daripadanya.


Keenam : Mula makan tepian bukan tengah.


Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pingan (bahagian tengah), akan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada dahagian di sebelah bawahnya (tepi yang berdekatan dengannya) kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (kebawah)"
(Hadis Riwayat Abu Daud).


Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya keberkatan itu turun ke bahagian tengah makanan, maka kamu makanlah daripada bahagian yang di tepinya (yang mendekatimu) dan janganlah kamu makan daripada bahagian tengahnya (puncaknya)"


Ketujuh : Duduk semasa makan.


Makan dan minum secara berdiri adalah bukan daripada adab Islam kerana Nabi s.a.w menunjukkan contoh makan dan minum baginda secara duduk.


Pada satu ketika Nabi s.a.w telah dihadiahkan sesekor kambing yang telah dimasak. Maka baginda turun makan secara berlutut. Tiba-tiba bertanya seorang Arab Desa kepada baginda. "Duduk apakah ini?". Maka baginda s.a.w menjawab : "Sungguhnya Allah telah menjadikan saya seorang hamba yang pemurah, dan Dia (Allah) tidaklah menjadikan saya seorang yang tidak kenal belas kasihan lagi keras kepala (derhaka)."
(Hadis Riwayat Abu Daud).


Kelapan : Makan dengan tiga putung jari.


Kaab bin Malik memberitakan : "Adalah kebiasaan Rasulullah s.a.w menjemput makanan dengan menggunakan tiga putung jari."
(Hadis Riwayat Muslim)


Menjemput makanan dengan kurang daripada tiga jari menunjukkan kesombongan, manakala  menjemput dengan lebih tiga putung jari pula menandakan buruk makan. Kerana bila makan roti, buah tamar atau kuih muih eloklah gunakan tiga putung jari. Tetapi jika makan nasi perlu menggunakan putung lima jari kerana bersesuaian dengan jenis makanan. Begitu juga makan bubur nasi , bubur kacang atau sop perlu menggunakan sudu pula.


Kesembilan : Tidak mencela atau mengaibkan makanan.


Abu Hurairah r.a. pernah memberitakan bahawa : "Tiadalah sekali-kali Nabi s.a.w. mengaibkan makanan (yang dihidang), jika baginda berselera baginda memakannya dan jika baginda tidak ingin baginda meninggalkannya."
(Hadis Riwayat Bukhari)


Perkataan mengaibkan atau merendah-rendahkan makanan itu seperti seseorang sedang makan ia berkata, "Makanan ini tawar ebar, masam rebam, masin perat, pedas gila, mentah dan sebagainya. Terutama ketika berbuka puasa.


Tujuan kata-kata itu bermaksud mencela makanan tersebut termasuk menyindir orang yang memasaknya kurang prihatin tentang rasanya. Jika ingin menegur pun eloklah secara hikmah untuk kebaikan akan datang dan bukan diucapkan semasa menjamu selera kerana boleh menjatuhkan maruah orang lain.


Nabi s.a.w pernah dijamu sejenis biawak padang pasir (dhabb), dikala baginda ditanyakan : "Adalkah dia haram?". Baginda menjawab ; "Tidak! Cuma dia tidak (hidup) di bumi kaumku, maka tidaklah seleraku untuk memakannya." (Hadis Riwayat Bukhari)


Juga sebagaimana terdapat dalam suatu kisah kaum ini (Quraisy) di kala ditanyakan Nabi s.a.w. : "Adakah binatang ini haram?" Maka baginda menjawab : "Tidak! Akan tetapi saya tidak menyukainya disebabkan baunya." (Hadis Riwayat Muslim)


Kesepuluh : Bercakap semasa menjamu selera.


Semasa makan para ulama menggalakkan bercakap mengenai kebaikan makanan, percakapan-percakapan baik dan kisah-kisah orang soleh sekitar makanan dan selainnya.


Semasa makanan berada dimulutnya jangan bercakap kerana perbuatan tersebut adalah buruk bila makan bersama orang lain. Kerana ditakuti makanan terhambur ke muka orang lain. Jika boleh semasa mengunyah hendaklah tidak berbunyi.


Kesebelas : Makan suapan terjatuh.


Jaabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya ; "Apabila suapan seseorang kamu terjatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, hendaklah dia membuang kemudharataan padanya dan hendaklah dia memakannya dan janganlah dia meninggalkannya kepada syaitan (secara membazir)"
(Hadis Riwayat Muslim)


Di galakkan memakan suapan (makanan) yang terjatuh, jika boleh dibasuh seberapa boleh dan makan semula. Jika makanan tersebut jatuh dan lantai tersebut agak kotor maka makanan tersebut diambil juga dan diberikan kepada haiwan dan jangan dibuangkan dan ditinggalkan kepada syaitan. Ini menunjukkan Islam cukup menbenci perbuatan menbazir dan tidak menghormati makanan. Nasi-nasi yang terjatuh di meja makan hendaklah dikutib dan dimakan semula kerana kita tidak tahu keberkatan  rezeki ada dibutiran mana nasi yang terjatuh.


Kedua belas : Tidak bernafas dalam bekas minum.


Ibnu Abbas r.a menyatakan bahawa, "Sungguh Nabi s.a.w melarang bernafas dalam bekas minum atau menghembuskan kedalannya."
(Hadis Riwayat Turmudzi)


Ketiga belas : Tidak makan banyak.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Orang Mukmin makan menggunakan sebuah perut, sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut" (Hadis Riwayat Bukhari)


Hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Tiadalah wadah yang diisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, dimana dia menyangka bahawa dengan beberapa suap makanan, maka punggungnya (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian juga, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan yang sepertiga lagi (kosongkan) untuk pernafasan (bernafas)." (Hadis Riwayat Turmudzi)


Keempat belas : Larangan makan sambil meniarap.


Saalim meriwayatkan daripada sumber bapanya ; "Bahawa Nabi s.a.w melarang seorang lelaki makan sedang dia duduk meniarap"
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kelima belas : Jangan memerhatikan orang sedang makan.
Seseorang yang sedang makan bila diperhatikan akan menyebabkan tidak selesa.


Keenam belas : Menjempun para tetamu untuk makan : "Sila menjamu selera!" kepada para tetamu.


Rasulullah s.a.w bersabda : "Yang masih tinggal cuma saya dan engkau."
Abu Hurairah berkata ; " Benar tuan, wahai Rasulullah s.a.w"
Baginda berkata : "Sila duduk, sila minum!"
Maka saya duduk , lalu saya minum.
Maka baginda berkata lagi : "Minumlah!"
Lantas saya minum.


Ketujuh belasa : Sesudah makan menjilat pingan dan jari.


Sabda Nabi s.a.w bermaksud : "Sungguh kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan.'
(Hadis Riwayat Muslim)


Malah Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya agar menyapu makanan dalam pingan (untuk dimakan) .


"Perbuatan Nabi s.a.w dimana baginda menjilat (dan menghisap) sisi-sisi makanan (serta memakannya) daripada tiga putung jari (yang menjemput makanan) sebelum lagi baginda menyapu jari-jarinya."
(Hadis Riwayat Musliam)


Kelapan belas : Larangan bangun meninggalkan makanan sehingga hidangan di angkat.



Sabda Nabi s.a.w  bermaksud : "Apabila telah dihidangkan suatu hidangan, maka janganlah seseorang bangun sehingga diangkatkan hidangan, dan janganlah dia menggerakkan tangannya (berhenti makan) sekalipun dia sudah kenyang sehinggalah kumpulan (bersamanya) selesai makan, dan hendaklah dia menunggu kumpulan itu, kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan merasa malu duduk (lagi), maka dia akan berhenti makan, dan barangkali dia masih perlu untuk makan."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kesembilan belas : Memuji dan menyanjungi Allah.


Bila hidangan diangkatkan Nabi s.a.w memuji Allah s.a.w dengan do'anya : 
"Segala puji bagi Allah, sebagai pujian yang banyak, bagus dan diberkati. Kami tidaklah merasa cukup dengan seorang selain Engkau, kami tidaklah meninggalkan nikmat Engkau, dan kami tidaklah terkaya daripada kurniaan Tuhan kami."


Kedua puluh : Membasuh kedua tangan selepas makan.


Hadis dari sumber Salmaan r.a. telah pun di sebutkan berbunyi : "Keberkatan makanan itu ialah membasuh dua tangan sebelum dan sesudah makan."


Sahabat yang dikasihi.
Marilah sama-sama kita amalkan adab-adab makan dan minum yang diajarkan oleh Nabi s.a.w untuk menjadi peduman kita semua untuk mencari keberkatan dan mengikut sunnah baginda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...