SAHABAT MADRASAH

Kamis, 29 September 2011

FAHAMAN YANG MENYEBABKAN SESAT

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu


`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



Islam adalah satu-satunya agama yang lengkap lagi komprehensif (syumul) kerana ia diasaskan atas tiga komponen utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga komponen ini menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam.
Rahsia kejituan Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu Al-Qur‘an dan As-Sunnah. Maka keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan kepada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur‘an dan As-Sunnah. Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh MalikRadiallahu ‘anhu yang bermaksud :
“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Qur‘an) dan sunnah RasulNya”.

(Hadis riwayat Malik)
Sejak kebelakangan ini masyarakat Islam telah dilanda oleh pelbagai kecelaruan dalam memahami tentang akidah Islam yang sebenar. Kita merasa amat dukacita dalam suasana keghairahan umat Islam hendak mendekati dan menghayati ajaran Islam ini, ada di kalangan umat Islam yang masih teraba-raba mencari kebenaran tersebut. Natijahnya menyebabkan sebahagian umat Islam terjebak ke dalam fahaman dan ajaran sesat yang ditaja oleh golongan-golongan tertentu yang mempunyai kepentingan hawa nafsu dan kebendaan.
Di negara kita, berdasarkan kajian dan penyelidikan serta penyiasatan pihak-pihak berkenaan terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat yang pernah aktif dan mengancam akidah umat Islam, kebanyakan dari mereka terlibat dengan amalan-amalan yang meragukan dan bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar. Walau bagaimanapun dengan usaha pemantauan yang gigih dari pihak berwajib, kumpulan-kumpulan tersebut telah dapat ditumpaskan dari terus berkembang.
Umat Islam sekarang terdedah dengan berbagai ancaman daripada anasir-anasir yang memesongkan akidah umat Islam kepada perkara-perkara mungkar. Mereka memperdayakan umat Islam dengan ajaran-ajaran yang jauh menyimpang dari ajaran Islam. Mereka bertopengkan Islam tetapi hakikatnya mereka jauh tersasar dan menyeleweng dari landasan dan akidah Islam.
Penyelewengan tersebut kebiasaannya bermula dalam bentuk yang halus dan teliti supaya tidak mudah dikesan. Kemudian ia mula meningkat dan membesar dengan keahlian yang ramai sehingga ahli-ahli berkenaan tidak merasakan ajaran tersebut menyimpang dan tersasar daripada akidah Islam yang sebenarnya.
CIRI-CIRI AJARAN SESAT
Sebilangan umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan fahaman yang berselindung di sebalik label Islam yang mereka amalkan, golongan yang terperangkap dengan ajaran-ajaran sesat akan tertarik dengan ajaran yang dibawa itu bersandarkan dakwaan-dakwaan kononnya para pengikut akan memperolehi keistemewaan, keajaiban, kekuatan luar biasa, kebahagiaan sejati, mengetahui persoalan-persoalan ghaib dan sebagainya sama ada melalui perbomohan atau lainnya.
Masyarakat Islam perlu mengetahui dan memahami keriteria-keriteria ajaran sesat itu supaya terhindar dari penyelewengan dan sentiasa berada di atas jalan yang betul tanpa sebarang keraguan.
Ajaran sesat merupakan sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau bersandarkan kepada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Al-Qur‘an dan Sunnah RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam serta bertentangan dengan ajaran, fahaman, keyakinan dan amalan Ahli Sunnah Wal Jemaah. (Aneka, Pelita Brunei: Bilangan 14, 5 April 2000 m/s: 3)
Selain itu ciri-ciri lain ajaran sesat ialah amalan-amalan kebatinan yang menjurus kepada matlamat untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan diri yang luar biasa yang menjadi kemegahan seperti kebal, ghaib dan sebagainya. Sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa tidak terdapat sebarang dalil Al-Qur‘an dan As-Sunnah yang menunjukkan bahawa amalan-amalan ini wujud dan dipraktikkan oleh para sahabat dan salaf salih. Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri yang merupakan manusia utusan Allah yang teragong pernah tercedera dalam peperangan Uhud manakala ramai sahabat yang terkorban sebagai syahid.
Begitu juga dengan perkara-perkara yang berhubung kait dengan kuasa-kuasa ghaib seperti mendakwa mengetahui waktu-waktu pintu langit dibuka. Menurut al-Qur‘an perkara ghaib seumpama ini, menurut ajaran Islam yang sebenar hanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja yang mengetahuinya dan Allah tidak mendedahkannya kepada sesiapa kecuali Allah menghendaki untuk disampaikan perkara ghaib itu kepada hamba pilihanNya iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah melalui firmanNya yang tafsirnya :
“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)”.

(Surah Al-Jin: 26-27)
Berdasarkan ayat di atas, Allah hanya akan memberitahu perkara-perkara ghaib itu kepada rasul-rasul yang mereka itu adalah orang-orang menjadi pilihanNya. Orang biasa tidak berhak untuk mempertikaikannya. Namun sebagai umat Islam, kita adalah dituntut supaya sentiasa beramal dan berdoa. Hal sedemikian sama seperti mencari malam lailatul qadar atau saat doa dikabulkan pada setiap hari Jumat yang tidak diketahui bila ianya terjadi. Perkara ini sengaja dirahsiakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar umat Islam bersungguh-sungguh dengan sedaya upaya mencarinya dan meningkatkan amal kebajikan.

2 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...