SAHABAT MADRASAH

Rabu, 04 April 2012

Salaf Tidak Pernah Takwil?

Salaf Tidak Pernah Takwil?
PENGENALAN
Dewasa ini, seringkali kita mendengar perbalahan yang
 tidak menguntungkan umat Islam dengan menjadikan 
isu-isu khilaf sebagai subjek utama perbahasan sehinggakan 
sampai kepada tahap membidaah dan mengkafirkan
 sesama Islam. Sikap segelintir puak yang begitu 
bersungguh-sungguh menabur bibit-bibit fitnah ini terus 
dilontarkan kepada masyarakat Islam lantas terjadilah 
permusuhan sesama Islam lantaras isu-isu khilaf yang 
mustahil dapat dihapuskan sehingga Kiamat.
Antara isu yang hangat diperkatakan ialah isu ayat-ayat 
sifat bagi Allah SWT. Saya melihat isu ini sentiasa 
dihangatkan oleh mereka sehingga mengundang rasa
 tidak tenteram kepada umat Islam. Di kesempatan ini,
 saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang boleh
 dijadikan panduan ketika berhadapan dengan isu ini. 
Saya sedaya upaya menggunakan bahasa dan 
perbahasan yang mudah difahami oleh masyarakat 
kebanyakkan. Semoga mendapat manfaat dari penjelasan ini.
ADAKAH ALLAH SWT MENYERUPAI MAKHLUK?
Adapun perbahasan mengenai pentakwilan ayat-ayat
 al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW pada sifat
 Allah SWT seringkali dibahaskankan pada 
kitab-kitab akidah yang memuatkan penjelasan terhadap
 manhaj salaf dan khalaf. Perbahasannya agak panjang.
Sebagai permulaan kepada perbincangan ini, terlebih
 dahulu saya ingin menetapkan kefahaman pembaca
 bahawa Allah SWT sama sekali tidak sama dengan 
sebarang perkara baharu, seperti mana ayat al-Quran
 al-Karim berikut:
Firman Allah Taala bermaksud:
Tiada ada sesuatupun yang serupa denganNya 

(Allah Taala) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi 
Maha Melihat.
(Surah al-Syuura: Ayat 11).
Ayat al-Quran di atas menunjukkan kepada kita 
bahawa Allah SWT tidak serupa sama sekali dengan
 apa-apa jua makhluk-makhluk yang lainnya. Ini
 bertepatan dengan salah satu Sifat 20 iaitu Mukhalafatuhu
 Taala Lil Hawadis.
APAKAH MAKSUD TAKWIL?
Secara ringkasnya, takwil bermaksud memindahkan 
lafaz daripada makna zahirnya. Takwil boleh dibahagi 
kepada dua:
- Takwil ijmali.
- Takwil tafsili.
Tawil ijmali digunakan oleh golongan Salaf iaitu 
memindahkan lafaz daripada makna zahirnya 
dan kemudian diserahkan maksud sebenar sesuatu
 lafaz itu kepada Allah SWT. Cara ini juga 
dikenali sebagai tafwidh (penyerahan).
Manakala takwil tafsili pula digunakan oleh 
golongan Khalaf iaitu memindahkan lafaz dari makna
 zahirnya dan kemudian menentukan maksud yang 
dimahukan dari lafaz tadi. Namun takwilan tersebut
 masih berlegar di ruang lingkup sesuai dengan Allah SWT.
Cara Khalaf dilihat lebih rapi dan lebih memberi 
faham kerana di sana terdapat penambahan maklumat
 dan penjelasan serta berkesan menolak syubahat 
daripada firaq bidaah. Manakala cara Salaf pula adalah
 lebih selamat kerana dia tidak menentukan apakah 
maksud sebenar lafaz itu kerana takut terjatuh kepada
 makna yang bukan yang dikehendaki oleh Allah SWT.
KENAPAKAH BERLAKU PERSELISIHAN?
Tujuan kedua-dua cara ini adalah sama iaitu untuk 
membersihkan Allah Taala daripada sebarang penyerupaan
 dengan makhluk. Perbezaan kedua-dua golongan ini 
berlaku kerana berbeza pandangan dalam menentukan
 tempat berhenti (waqaf) pada ayat 7 surah ali-Imran:
وَ مَا يَعلَمُ تَأوِيلَهُ إِلا اللهُ
Bermaksud: Dan tiadalah yang mengetahui takwilnya 
melainkan Allah.
Ataupun:
وَ مَا يَعلَمُ تَأوِيلَهُ إِلا اللهُ وَ الرَّاسِخُونَ فِي العِلمِ
Bermaksud: Dan tiadalah yang mengetahui takwilnya
 melainkan Allah dan orang-orang yang mendalam ilmunya.
Golongan Salaf berpandangan waqaf seperti yang 
pertama. Lalu mereka (Salaf) berpendapat yang 
mengetahui tentang takwil hanyalah Allah SWT 
sahaja dan makhluk tidak berpeluang menyelongkar
 maknanya. Manakala golongan Khalaf berpandangan
 waqaf adalah seperti yang kedua. Lalu mereka 
(Khalaf) berpendapat yang mengetahui tentang
 takwil adalah Allah SWT dan para alim ulama.
Sebagai contoh, di dalam firman Allah SWT pada 
ayat 5 surah Toha:
الرَّحمَانُ عَلَى العَرشِ استَوَى
Bermaksud: Ar-Rahman (Allah SWT) itu beristiwa
 di atas arasy.
Salaf mengatakan istiwa tidak kita ketahui 
maksudnya. Manakala Khalaf mengatakan istiwa 
di situ dengan maksud istila (menguasai).
MANA SATUKAH GOLONGAN YANG BENAR?
Kedua-dua manhaj (Salaf dan Khalaf) adalah 
bertepatan dan ianya boleh digunakan. Tiada 
perbalahan sehingga membawa perpecahan 
di antara kedua-duanya. Imam 
Abu Hassan al-Asy’ari juga turut menggunakan 
kedua-dua cara di atas dalam menerangkan 
ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW
 yang meletakkan sifat Allah SWT seperti contoh ayat 
di atas (Surah Toha: 
ayat 5) ini. Sila rujuk kitabnya seperti al-Ibanah 
(menggunakan cara Salaf) dan al-Luma 
(menggunakan cara Khalaf).
Oleh itu, tidak boleh dilontarkan tuduhan bidaah, 
kafir dan sebagainya jika seseorang itu cenderung
 menggunakan salah satu dari cara tersebut. 
Ini kerana, kedua-dua cara itu adalah betul. 
Jadi, sesiapa yang mudah melontarkan kata-
kata bidaah, kafir dll terhadap orang lain 
yang tidak sealiran dengan kecenderungannya itu,
 maka sebenarnya dia yang tidak memahami 
perbahasan ilmu akidah Islam.
SALAF TIDAK MENTAKWILKAN LANGSUNG?
Sebilangan golongan Salaf turut mentakwil 
ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis
 Nabi SAW yang difikirkan perlunya pentakwilan ini.
 Dengan itu, tertolaklah
 hujjah golongan Wahabi yang mengatakan golongan
 Salaf tiada pentakwilan langsung. Sebagai contohnya:
1. Imam Malik dan Imam Ahmad mentakwilkan ayat berikut:
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan datanglah Tuhanmu.
(Surah al-Fajr: Ayat 22).
Imam Ahmad mentakwikan ayat al-Quran al-Karim 
di atas dengan makna: Dan datanglah pahala dari
 Tuhan. (Sila rujuk al-Bidayat wa al-Nihayat karangan
 Imam Ibnu Khathir).
Imam Malik pula mentakwilkan ayat al-Quran al-Karim 
di atas dengan makna: RahmatNya yang turun. 
(Sila rujuk al-Salafiyyah al-Muasarah karangan 
Syeikh Abdullah bin Abd Rahman).
2. Imam Malik turut mentakwilkan sebuah hadis 
(riwayat al-Bukhari) tentang turunnya Tuhan 
pada waktu tengah malam dengan turunnya 
perintahNya. (Sila rujuk Siyar Alam al-Nubala karangan 
Imam al-Zahabi).
3. Imam Sufyan al-Thauri mentakwilkan ayat istiwa 
(surah al-Baqarah: Ayat 29) dengan maksud 
berkehendak menciptakan langit. (Sila rujuk Jamik al-Bayan
 karangan Imam al-Tobari).
4. Imam al-Bukhari turut mentakwilkan sebuah hadis
 (riwayat al-Bukhari dan Muslim) tentang Allah SWT 
tertawa dengan maksud rahmat Allah SWT. 
(Sila rujuk al-Asma wa al-Sifat karangan Imam al-Baihaqi).
 Bahkan Imam al-Bukhari turut mentakwilkan ayat al-Quran
 al-Karim (surah al-Qashash: Ayat 88) tentang wajah 
Allah SWT dengan kerajaan Allah SWT. (Sila rujuk 
Fath al-Bari karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani).
Demikianlah beberapa contoh yang menunjukkan bahawa
 generasi Salaf juga mentakwilkan ayat-ayat al-Quran
 al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW. Jika ini dijadikan
 ukurannya, maka golongan Wahabi yang mengatakan
 sesiapa yang melakukan takwilan adalah bidaah dan 
kafir, sesungguhnya mereka sebenarnya telah menghukum 
para ulama Salaf dengan satu tuduhan yang amat berat!
APAKAH KAITAN DENGAN GOLONGAN MUJASSIMAH?
Golongan Mujassimah atau Musyabbihah ialah golongan 
berpendapat bahawa sifat Allah SWT itu menyerupai
 sifat makhluk seperti mengatakan Allah SWT 
bertangan, berkaki dan bermuka sebagaimana
 sifat makhluk. Mereka memahami ayat-ayat sifat 
Allah SWT dengan makna zahir semata-mata namun
 tanpa sedar mereka turut menjisimkan Allah SWT.
 Menurut Ibnu al-Bana dalam kitabnya al-Mukhtar fi
 Usul al-Sunnah, golongan Musyabbihah atau 
Mujassimah ini menjadikan segala sifat Allah SWT 
seperti sifat-sifat makhluk meliputi zat, sifat dan
 perbuatan Allah SWT.
Walaupun mereka mendakwa mereka berpegang
 dengan manhaj Salaf, tetapi hakikatnya mereka
 terpesong daripada manhaj itu. Mereka 
berlebih-lebihan di dalam membicarakan ayat-ayat 
sifat sehingga sampai ke tahap menyamakan Allah
 SWT dengan makhluk. Golongan ini terpesong
 dari akidah Islam yang mengatakan Allah SWT
 tidak menyamai sebarang perkara baharu.
KESIMPULAN
Daripada penjelasan ringkas ini, dapatlah kita
 fahami bahawa kedua-dua manhaj iaitu Salaf 
dan Khalaf adalah bertepatan dengan Islam. 
Jadi, sebagai umat Islam yang sayangkan agamanya, 
kita perlu menjauhkan diri dengan segelintir golongan
 (terutamanya Wahabi) yang begitu mudah membidaah
 dan mengkafirkan orang lain yang tidak sealiran dengan
 mereka.
Sekian.
buluh.iluvislam.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...