SAHABAT MADRASAH

Selasa, 22 November 2011

Ciri-ciri Orang Cemerlang

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia mempunyai cita-cita untuk berjaya dan cemerlang dalam kehidupan. Berjaya atau gagal untuk mencapai hasrat tersebut bergantung sejauh mana usaha dan perancangan yang teliti dan berterusan yang telah dilaksanakan.

Kalian juga pasti memiliki hasrat untuk berjaya, samaada berjaya dalam pelajaran, kerjaya atau perniagaan. Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, agama progresif dan dinamik yang amat menggalakkan agar umatnya berjaya di dalam kehidupan di dunia dan di Akhirat.

Sebelum kalian memburu kejayaan yang dicita-citakan perkara penting yang perlu diperhatikan adalah membina dahulu cemerlang dalam akhlak dan keperibadian dan perhubungan sesama manusia. Kalian perlulah berusaha dan memenuhi syarat ini terlebih dahulu, barulah ia akan jadi pelengkap kepada kejayaan kalian.

Apakah ciri-ciri kejayaan yang di pelupori oleh pejuang dan cendikiawan Islam yang telah berjaya memberi sumbangan yang besar ke atas kehidupan manusia? Bolehlah kita mengambil contoh kejayaan tokoh-tokoh Islam terdahulu dari sudut personaliti,keluarga, kerjaya, agama, ketamadunan, politik dan ekonomi.

Sahabat yang dimuliakan,
Kejayaan mereka menguasai ilmu dan mempraktikan ilmu yang dimiliki, telah terbukti dalam sejarah Islam, ianya telah mencipta sejarah kecemerlangan hingga di guna pakai sehingga ke hari ini. Tokoh-tokoh yang telah berjaya ini mempunyai sifat cemerlang yang tiada tolak bandingnya. Terdapat beberapa ciri penting sifat kecemerlangan mereka ialah :

1.Niat yang Betul.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “ Setiap amalan adalah dengan niat.”(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Sayyidina Umar al-Khattab)

Oleh itu kalian harus sentiasa memasang dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan, samaada yang berbentuk ibadah atau pun amal kebiasaan. Niat ini adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

2.Ada Wawasan dan Matlamat.
Kalian perlulah meletakkan wawasan dan matlamat dalam hidup. Matlamat bersih dan jalan untuk mencapai matlamat tersebut juga mesti bersih. Kalian tidak boleh menggunakan kaedah, ‘Matlamat boleh menghalalkan cara’. Kalian terikat dengan peraturan dan hukum Islam. Matlamat dunia kalian mestilah berkaitan dengan kehidupan di akhirat.

3.Berani dan Sanggup Berkorban.
Tokoh-tokoh Islam terdahulu sanggup untuk bersusah payah menuntut ilmu bermusafir beribu-ribu batu untuk berguru dengan guru-guru mursyid. Sultan Sallehudin al-Ayubi berjuang berkali-kali baru dapat mengalahkan tentera Salib dan menawan semula Palestin dan Sultan Muhammad al-Fateh pula berjaya menawan Kota Istanbul setelah mencuba beberapa kali. Khalid al-Walid mengharungi 100 peperangan dan membunuh lebih 5000 orang musuh dalam perang Yarmuk.

4.Sentiasa Menambah Ilmu.
Bagaimana tokoh terdahulu menguasai ilmu pengetahuan? Imam Bukhari dan Imam Muslim menguasai ratusan ribu hadis disertai dengan menghafal perawi-perawinya. Bagaimana Imam Ahmad bin Hambal memberi fatwa kepada 60,000 masaalah dengan disertai dalil.

5.Memberi Tumpuan (fokus).
Kalian hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang sedang dilakukan.Kuasa tumpuan (fokus) mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Contohnya lihat sahaja Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari sepotong hadis.

6.Daya Tahan yang Tinggi.
Untuk berjaya perlu bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa hingga ke tahap maksima dan hendaklah sentiasa istiqamah dan berterusan.

7.Memiliki Sifat-sifat Mahmudah.
Untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, perkara yang paling penting kalian hendaklah mendidik dan memperbaiki diri kalian hingga ketahap memiliki sifat-sifat mahmudah iaitu sifat-sifat warak, sabar, amanah, jujur, ikhlas dan syukur pada masa yang sama membuangkan sifat-sifat mazmumah iaitu sifat suka marah, hasad dengki, ujub, riak, sombong dan takabur. Tanpa adanya sifat-sifat yang mulia ini tidak mungkin kalian akan mampu menjadi cemerlang, ini adalah kerana sifat-sifat yang keji atau mazmumah adalah sifat negatif yang akan mendorong kepada kegagalan dan kekecewaan.

Akhir kata jadikanlah diri kalian insan cemerlang di dunia ini dengan mendapat kejayaan dalam kerjaya dan perjuangan hidup dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Dan juga menjadi insan cemerlang di hari Akhirat dengan dikurniakan-Nya balasan Syurga dan di jauhi dari siksaan Neraka.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...