Menurut ulama Syafi`iyyah, sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW adalah salah satu dari rukun dalam kedua-dua khutbah shalat Jumaat. Namun ada terjadi di mana sesetengah khatib tidak begitu memberi perhatian kepada rukun ini, sehingga kekadang ianya ditinggalkan atau shighah yang digunakan tidak tepat bagi melepaskan tuntutan rukun tersebut. Ramai juga yang keliru sehingga beranggapan bahawa ucapan syahadatain sebagai rukun dan bukannya sholawat. Perlu diingat bahawa khutbah walaupun sepanas mana, walau berapi-api berisikan kupasan isu semasa, jika rukun-rukunnya tidak dilaksanakan akan menyebabkan ianya tidak sah, dan jika khutbah tidak sah, maka tidak sah pula sholat Jumaat tersebut. Sesungguhnya khutbah Jumaat itu tidaklah seperti ceramah-ceramah biasa, ianya adalah salah satu ibadah yang besar yang menjadi syarat bagi sah atau tidak sembahyang jumaat yang didirikan. Bahkan mimbar tempat tuan khatib menyampaikan khutbah turut dimuliakan bahkan dijadikan sebagai taghlidhz dalam sesuatu sumpah. Oleh itu, hendaklah diberikan perhatian sewajarnya berhubung segala rukun khutbah tersebut agar amal ibadah kita sah dan diterima Allah SWT.
- Menggunakan ucapan sholawat, samada dalam bentukmashdarnya yakni " الصلاة " atau musytaqnya seperti " صلى "atau " صل " atau " اصلى " atau " نصلى " dan sebagainya;
- Menggunakan nama atau gelaran Junjungan Nabi SAW yangshorih (jelas) dan bukan hanya dirujuk dengan dhomir(gantinama) sahaja, walaupun sebelumnya disebut akan nama Junjungan SAW;
- Ianya hendaklah diucapkan dalam bahasa 'Arab.
Sering berlaku kekeliruan pada sebahagian khatib yang menyangka bahawa lafaz dua kalimah syahadah (asy-syahadatain) itu sebagai rukun, maka setelah mengucapkan dua kalimah syahadah tersebut lalu diiringi dengan ucapan sholawat ke atas Nabi dengan shighah dhomir, contohnya:- " .... wa asyhadu anna Muhammadan `abduhu wa rasuluh, shallaAllahu `alaihi wa sallam....", tanpa diulangkan lafaz sholawat dengan menyebut salah satu daripada nama-nama atau gelaran-gelaran baginda yang mulia seumpama Muhammad atau Ahmad atau Rasulullah atau ar-Rasul atau an-Nabiy atau al-Haasyir dan sebagainya. Maka jika ini dilakukan, cacatlah khutbah itu kerana telah tertinggal satu rukun. Oleh itu, berilah perhatian wahai para khatib agar mengucapkan sholawat dengan menyebut dengan terang dan nyata "....`alan Nabiy" atau "......`ala Sayyidina Muhammad" atau ".......`alar Rasul" dan seumpamanya.
Inilah yang dinaskan dalam kitab-kitab muktabar dalam mazhab kita. Antaranya oleh Khatimatul Muhaqqiqin, Mufti Haramain, Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin `Ali bin Hajar al-Haitami as-Sa'di al-Anshari al-Makki @ Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah dalam kitab "Tuhfah" juzuk 2 halaman 484, di mana beliau menulis:-
......(Dan lafaz keduanya) iaitu lafaz hamdallah dan sholawat ke atas Rasulillah SAW (adalah dengan lafaz yang tertentu) kerana menurut apa yang telah diamalkan orang semenjak masa Junjungan Nabi SAW sehinggalah ke hari ini. Maka tidaklah memadai tsana` (ucapan sanjungan selain tahmid) atau ucapan syukur; dan tidak juga memadai ucapan tahmidyang menggunakan nama selain daripada lafzul jalalah"ALLAH" seperti diucapkannya "al-hamdulir Rahman" atau "al-hamdulir Rahim". Dan tidak memadai ucapan yang tidak menggunakan ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW seperti dikatakannya "rahimaAllahu Rasulillah" atau "barakAllahu `alaih", dan tidak memadai bersholawat kepada selain Junjungan Nabi SAW seperti dikatakan "shallAllahu `ala Jibril", DAN TIDAK MEMADAI SHOLAWAT YANG MERUJUK KEPADA JUNJUNGAN NABI SAW DENGAN ISM DHOMIRSEPERTI "SHALLALLAHU `ALAIH" WALAUPUN DIDAHULUI DENGAN MENYEBUT NAMA BAGINDA ....
Oleh itu, sayogia diberi perhatian oleh para khatib sekalian. Ingat sentiasa bahawa dua khutbah itu syarat bagi sahnya shalat Jumaat. Jangan kerana kita maka Jumaat tidak didirikan dengan sempurna rukun dan syarat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar