SAHABAT MADRASAH

Rabu, 04 Mei 2011

KUKUHKAN AQIDAH KITA…

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam, Dialah Yang mencipta ‘arasy, langit dan bumi, Dialah jua Pencipta tempat, wujudNya tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda.
MUQADDIMAH
Dewasa kini seringkali kita mendengar banyak golongan yang asyik melabelkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Akan tetapi adakah dengan hanya mengaku sedemikian sahaja tanpa bukti yang kukuh harus bagi kita pula menamakan mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Kita jua ketahui bahawa ancaman dan penentangan terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar datang dari pelbagai sudut termasuk wujudnya ajaran-ajaran songsang, aliran-aliran baru yang menyimpang, keganasan yang terkeluar dari erti jihad, isu murtad dan sebagainya.
Apakah mauqif dan peranan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Ramai jua yang tahu peranan masing-masing tetapi mengabaikan tindakan segera atau menganggap ia sebagai suatu yang boleh dilakukan pada masa yang akan datang tanpa disedari semakin hari semakin pupus insan yang mengetahui erti aqidah yang sebenar, semakin hari semakin hilang mutiara ilmu aqidah yang menjadi senjata utama dalam menguatkan serta memajukan lagi taraf insan yang bergelar Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tidak pernah tahukah insan sebegini dengan sabda Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Asakir dan Imam Abdary bahawa Baginda pernah bersabda yang bermaksud :
“ Sesungguhnya manusia itu apabila ia melihat (mengetahui) kemungkaran, tiada pula ia merubahkannya maka Allah akan mengumumkan azabNya ke atas
semua manusia ”.
Terlupakah insan ini akan kata-kata yang sering diungkap oleh para ulama seperti Imam Ali Ad-Daqqoq yang bermaksud :
“ Senyap dari menyatakan kebenaran merupakan syaitan bisu ”.
Semoga dari tulisan dan pembentangan ini dapat menguatkan lagi semangat kita dalam memperjuangankan agama Allah. Amin.
AQIDAH
 ERTI AQIDAH DAN KAITANNYA DENGAN AMALAN SOLEH
Aqidah membawa erti pegangan dan kepercayaan seseorang. Pegangan dan kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar atau salah. Aqidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah.
Tanpa akidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan soleh. Sekiranya aqidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukan maka akan hanya dibalas dengan kebururkan.
Jesteru itu perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak harus dijadikan gurauan-senda atau diremeh-remehkan. Hubungan aqidah dan amalan soleh ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud :
“ Dan barangsiapa melakukan amalan soleh dari kalangan lelaki ataupun wanita dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang akan dimasukkan kedalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit ”.
An-Nisa Ayat 124.
Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan soleh yang dilakukan orang lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaannya dari Allah. Begitu juga kenyataan dari hadith Nabi yang bermaksud :
“ Semulia-mulia amalan adalan beriman kepada Allah dan RasulNya
( beraqidah dengan aqidah yang betul) ”.H.R. Sohih Bukhari.
Ini menandakan bahawa aqidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah yang lain.
PARA ULAMA MENGUTAMAKAN ILMU AQIDAH
Oleh kerana pentingnya ilmu aqidah maka kita dapati seluruh para ilmuan islam akan mengutamakan ilmu aqidah. Perkara ini dapat dipetik dari kenyataan Imam tertua diantara mazhab empat iaitu Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitab beliau Fiqhul Absot yang bermaksud :
“ Ketahuilah bahawa mendalami ilmu usuluddin (aqidah) itu lebih mulia dari mendalami ilmu feqh ”.
Kenyataan ini tidak bermakna kita tidak harus mempelajari ilmu feqah langsung akan tetapi Imam Abu Hanifah menerangkan kemulian mempelajari dan mengutamakan ilmu aqidah.
Begitu juga para ulama yang lain mengutamakan ilmu ini seperti Imam yang menjadi pegangan mazhabnya di tanah air kita iaitu Imam Syafie menyatakan yang bermaksud : “ Kami telah mendalami ilmu tersebut (aqidah) sebelum ilmu ini (feqh) ”.
AQIDAH AHL SUNNAH WAL JAMAAH
Kesemua aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berlandaskan Al-Quran, Al-Hadith serta ijmak ulama. Ahli Sunnah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Allah ta’ala sendiri di dalam Al-Quran dan apa yang telah dinyatakan leh Rasulullah di dalam Hadith baginda tanpa mereka meyandarkan sifat tasbih atau tajsim bagi Allah, mereka juga menafikan sifat duduk, bertempat, berkaki, berbetis, zat yang turun naik dari langit ke bumi, berada di atas langit, berada di atas ‘arasy, dan sebagainya dari sifat yang tidak layak bagi Tuhan yang mencipta segala makhlukNya.
Ini semua berdasarkan firman Allah di dalam surah As-syura ayat 11 yang bermaksud :
“ Tiada sesuatupun yang menyerupaiNya ”.
Wujudnya Allah tanpa diliputi tempat berdalilkan juga dari sabda Nabi Muhammad yang bermaksud :
“ Allah telah sedia wujud (azali) dan tiada sesuatupun selain Allah itu azali ”. Riwayat Bukhari dalam Sohih Bukhari.
Ini menunjukkan bahawa Dia sahaja yang wujudnya azali manakala tempat, ‘arasy, langit, dan selainnya bukan azali.
Ijmak para ulama yang telah dinukilkan oleh Imam Abdul Qohir Bin Tohir Al-Baghdadi dalam kitab Al-Farqu Bainal Firaq halaman 333 cetakan Darul Ma’rifah jelas menunjukkan kewujudan Allah bukanlah berada diatas ‘arasy akan tetapi Allah wujud tanpa diliputi oleh tempat :
“ Dan telah disepakati dan diijmakkan bahawa Allah tidak diliputi tempat ”. Demikian ijmak para ulama yang tidak boleh ditolak lagi oleh golongan mujassimah dan musyabbihah.
AQIDAH ULAMA SALAF
Ulama Salaf (bukan Wahhabi) adalah ulama yang pernah melalui kehidupannya pada era 300Hijriah pertama. Kesemua ulama Salaf berpegang dengan akidah bahawa:
Allah adalah Tuhan sekelian alam yang mencipta setiap sesuatu, wujudNya tanpa permulaan dan tanpa pengakhiran, Maha Suci Allah dari dilingkungi dan diliputi oleh tempat, bahkan wujudNya tanpa berada di sesuatu tempat, bukan di langit wujudNya bukan di bumi pula tempatNya. Allah lah Pencipta ‘arasy, diciptakannya untuk menunjukkan kekuasaanNya, bukan pula ianya dijadikan tempat bagi Zat Allah. Kerana Dia Pencipta tempat maka Dia tidak memerlukan tempat.
Pegangan ulama Salaf pada ayat mutasyabihat mengenai sifat Allah ta’ala pula kebanyakan ulama Salaf memilih jalan tidak mentakwilkan secara tafsily (teperinci) ayat tersebut akan tetapi ditakwil secara ijmaly (menafikan makna zohirnya) dan diserahkan makna sebenar kepada Yang Maha Mengetahui tanpa berpegang dengan zohirnya, tanpa menyandarkan sifat tasybih, tajsim dan bertempat bagi zat Allah.
Akan tetapi wujud dikalangan ulama Salaf yang mentakwilkan secara tafsily ayat mutasyabihat seperti Imam Bukhari di dalam kitab beliau Sohih Bukhari mentakwilkan firman Allah di dalam surah Al-Qosos ayat 88 :
“ wajahNya ” bererti kerajaanNya ”.
Di sini akan dibawa sebahagian sebahagian sahaja kenyataan dari para ulama Salaf termasuk para sahabat Nabi yang menunjukkan bahawa aqidah ulama Salaf antaranya adalah Allah wujud tanpa memerlukan tempat :-
1 – Seorang sahabat Nabi yang terkenal dengan keilmuan beliau pernah dipuji oleh Rasulullah iaitu Imam Saidina Ali Karramallahu Wajhah wafat pada 40Hijriah pernah berkata yang bermakna :
“ Sesungguhnya Allah telah wujud tanpa tempat, maka Dia sekarang tetap sedia wujud tanpa tempat ”. Kenyataan ini dinyatakan dalam kitab karangan Imam Abu Mansur Al-Baghdadi dalam kitab beliau yang masyhur Al-Farqu Bainal Firaq pada halaman 256 cetakan Dar Kutub Ilmiah .
Ini memberi erti bahawa diantara aqidah para sahabat serta ulama Salaf adalah Allah wujud tanpa bertempat iaitu tidak dilingkungi oleh sesuatu tempat mahupun semua tempat. Dalam halaman kitab yang sama juga dinukilkan kenyataan Imam Ali yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Allah mencipta ‘arasy adalah untuk menzahirkan kekuasaanNya dan bukanlah untuk dijadikan tempat bagi zatNya.”
2- Imam Syafie Rahimahullah yang wafat pada 204Hijriah pernah berkata:
“ Dalil bahawa Allah wujud tanpa tempat adalah Allah ta’ala telah wujud dan tempat pula belum wujud, kemudian Allah mencipta tempat dan Allah tetap pada sifatNya yang azali sebelum terciptanya tempat, maka tidak harus berlaku perubahan pada zatNya dan begitu juga tiada pertukaran pada sifatNya ”.
Kenyataan Imam Syafie ini dinyatakan oleh Imam Al-Hafiz Murtadho Zabidi didalam kitab beliau berjudul Ithaf Sadatul Muttaqin, juzuk kedua, mukasurat 36, cetakan Dar Kutub Ilmiah.
3- Imam yang terkenal dengan karangan kitab aqidah beliau berjudul Aqidah At-Tohawiyah bernama Imam Al-Hafiz Abu Ja’far At-Tohawy wafat pada 321Hijriah (merupakan ulama Salaf) telah menyatakan dalam kitab beliau tersebut pada halaman 15 cetakan Dar Yaqin yang bermaksud : “ Allah tidak berada (tidak diliputi) pada enam penjuru (atas, bawah, kanan, kiri, depan, belakang) seperti sekalian makhluk ”.
AQIDAH ULAMA KHALAF
Ulama Khalaf adalah mereka yang hidup selepas 300Hijriah pertama. Aqidah ulama Khalaf juga tidak terkeluar dari landasan Al-Quran dan Al-Hadith serta Ijmak ulama. Aqidah ulama Khalaf tidak sama sekali berlawanan dengan aqidah ulama Salaf bahkan akidah ulama Salaf itu adalah aqidah ulama Khalaf begitu jua sebaliknya.
Cuma pada segi penerangan mengenai perkara yang berkaitan dengan sifat Allah yang tertentu ulama Khalaf memilih cara penerangan yang lebih terperinci bagi mengelakkan anggapan yang bersifat tasybih atau tajsim pada sifat Allah.
Contohnya ramai dikalangan ulama Khalaf mentakwilkan secara tafsily (terperinci) sifat-sifat Allah yang tertentu kepada makna yang selari dengan bahasa arab dan layak bagi Allah serta mudah difahami oleh orang awam dan penuntu ilmu bertujuan menjauhkan anggapan yang tidak benar pada sifat Allah. Namun ada juga dikalangan ulama Khalaf yang tidak mentakwilkan secara terperinci.
Disini akan disebut sebahagian sahaja kenyataan para ulama Khalaf bahawa Allah wujud tanpa memerlukan tempat :-
Al-Hafiz Ibnu Jauzy Al-Hambaly Rahimahullah wafat pada 597Hijriah telah menyatakan di dalam kitab karangan beliau berjudul Daf’u As-Subah Wa At-Tasybih mukasurat 189 cetakan Dar Imam Nawawi :
“ Sesungguhnya telah sahih di sisi ulama islam bahawa Allah ta’ala tidak diliputi oleh langit, bumi dan tidak berada di setiap tempat ”.
Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali yang wafat pada 505Hijriah menyatakan dalam kitab beliau yag masyhur berjudul Ihya Ulumuddin : “ Dan Allah juga tidak diliputi oleh tempat dan Allah tidak diliputi arah enam dan Allah tidak pula dilingkungi oleh langit dan bumi ”. Rujuk kitab Ifhaf Sadatul Muttaqin Fi Syarh Ihya Ulumuddin, juzuk 2 mukasurat 36 cetakan Dar Kutub Ilmiah, Beirut.
Maka ini bermakna antara aqidah ulama Khalaf adalah Allah wujud tanpa tempat.
 KESEMUA ULAMA SALAF & KHALAF MENTAKWIL AYAT MUTASYABIHAT DARIPADA ZOHIRNYA
Ramai dikalangan para penceramah aqidah menyalah ertikan perkara ini dengan mengatakan ulama Salaf tidak langsung mentakwilkan ayat mutasyabihat mengenai sifat Allah hanya ulama Khalaf sahaja yang mentakwilkan ayat tersebut. Ini adalah tanggapan yang tidak langsung berunsurkan pengkajian yang sebenar kerana dari pentakwilan Imam Bukhari yang dinukilkan diatas serta takwilan beliau dalam Sohih Bukhari juga pada ayat 56 Surah Hud jelas menunjukkan beliau sebagai ulama Salaf telah mentakwilkan ayat mustasyabihat mengenai sifat Allah.
Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany di dalam Fathul Bary Syarh Sohih Bukhary pada menyatakan Hadith Ad-Dohiku (ketawa) berkata:
“ Bukhary telah mentakwilkan hadith Ad-Dohiku (ketawa) dengan erti rahmat dan redho ”.
Begitu juga Imam Ahmad Bin Hambal yang merupakan ulama Salaf telah mentakwilkan ayat 22 Surah Al-Fajr seperti yang diriwayatkan secara bersanad yang sohih oleh Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib Ahmad dari Imam Ahmad:
“ Firman Allah : “Dan telah datang Tuhanmu” ditakwilkan oleh Imam Ahmad dengan : Telah datang kekuasaan Tuhanmu ”.
Antara ulama Salaf yang mentakwilkan secara tafsily iaitu terperinci pada ayat 5 dalam Surah At-Toha adalah Imam Salaf Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Yahya Bin Al-Mubarak wafat 237Hijriah dalam kitab Ghoribul Quran Wa Tafsiruhu halaman 113 cetakan Muassasah Ar-Risalah, Beirut :
“ Firman Allah : “ Ar-Rahman di atas ‘arasy beristawa” istawa disini ertinya Menguasai ”.
Diantara ulama Khalaf pula yang mentakwilkan ayat tersebut secara tafsily adalah Imam Abdul Rahim Bin Abdul Karim Bin Hawazan atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Qusyairy telah mentakwilkannya dalam kitab beliua Tazkirah As-Syarqiyah : “ Ar-Rahman di atas ‘arasy beristawa” istawa disini ertinya Menguasai, Menjaga dan menetapkan ‘arasy ”.
Maka natijahnya bahawa kedua-dua jalan pilihan ulama Salaf dan Khalaf adalah benar dan tidak menyimpang kerana kedua-duanya mentakwilkan cuma bezanya kebanyakan Salaf mentakwil secara ijmaly dan kebanyakan Khalaf mentakwil secara tafsily.
2. ANCAMAN TERHADAP AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Ancaman terhadap Ahli Sunnah datang dari perbagai sudut, samada dari golongan yang mengizharkan mereka bukan Islam seperti Yahudi dan Kristian mahupun golongan yang mendakwa sebagai Islam seperti puak Syiah, Wahhabiyah, Hizbu Tahrir, Ikhwanjiyyah (Khawarij), Islam liberal, Sister in Islam dan banyak lagi. Ini merupakan ujian Allah terhadap mereka yang berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di zaman kini supaya memperjuangkan sunnah (aqidah dan syariat) bagi mendapat ganjaran syahid dalam peperangan.
Ini berdasarkan dari Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghidupkan sunnah ku (aqidah dan syariat ku) ketika rosaknya ummat ku, maka baginya pahala syahid”.
FAHAMAN SYI‘AH.
Fahaman Syi’ah jelas terkeluar dari aqidah Ahlus Sunnah Wa al-Jama‘ah, kerana percanggahan dari pelbagai sudut dan yang paling asas dalam soal-soal aqidah.
Sebahagian contoh kesesatan Syi’ah dalam aqidah:
1. Imam adalah ma‘sum.
2. Para sahabat menjadi kafir kerana tidak melantik Ali sebagai khalifah selepas kewafatan Nabi s.a.w.
3. Hanya berpandukan Quran dan Hadith versi mereka.
Sebahagian contoh percanggahan dalam furu‘:
1. Nikah Mut‘ah dihukumkan halal dan bercanggah sama sekali dengan ijma‘ Ulama‘.
2. Tidak menerima Qias.
3. Tidak menerima Ijma‘.
4. Hukum agama hanya untuk orang awam dan bukan Imam.
5. Dan lain-lain.
2.2 FAHAMAN WAHHABIYYAH.
Sejarah Ringkas Ajaran Wahhabi
Ajaran Wahhabi diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab 1206H yang mendorong pengikutnya mengkafirkan umat islam dan menghalalkan darah mereka. Sudah pasti manusia yang lebih mengenali perihal Muhammad bin Abdul Wahhab adalah saudara kandungnya dan bapanya sendiri.
Saudara kandungnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab sering memberi peringatan kepada umat islam dizamannya agar tidak mengikut ajaran baru Muhammad bin Abdul Wahhab kerana ajaran itu menghina ulama islam serta mengkafirkan umat islam. (Sebagai bukti sila rujuk 2 kitab karangan Syeikh Sulaiman tersebut: “Fashlul Khitob Fir Roddi ‘Ala Muhammad bin Abdul Wahhab” dan “ Sawaiqul Ilahiyah Fi Roddi ‘Ala Wahhabiyah”).
Bapanya juga iaitu Abdul Wahhab turut memarahi anaknya iaitu Muhammad kerana enggan mempelajari ilmu islam dan beliau menyatakan kepada para ulama: “Kamu semua akan melihat keburukan yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab ini”. ( Sebagai bukti sila rujuk kitab “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” cetakan Maktabah Imam Ahmad m/s 275). Demikianlah saudara kandungnya sendiri mengingatkan umat islam agar berwaspada dengan ajaran TAKFIR yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Kenyataan Para Mufti Perihal Wahhabi
Mufti Mazhab Hambali Muhammad bin Abdullah bin Hamid An-Najdy 1225H menyatakan dalam kitabnya “As-Suhubul Wabilah ‘Ala Dhoroihil Hanabilah” m/s 276 : “Apabila ulama menjelaskan hujah kepada Muhammad bin Abdullah Wahhab dan dia tidak mampu menjawabnya serta tidak mampu membunuhnya maka dia akan menghantar seseorang untuk membunuh ulama tersebut kerana dianggap sesiapa yang tidak sependapat dengannnya adalah kafir dan halal darahnya untuk dibunuh”.
Mufti Mazhab Syafi’e Ahmad bin Zaini Dahlan 1304H yang merupakan tokoh ulama Mekah pada zaman Sultan Abdul Hamid menyatakan dalam kitabnya “ Ad-Durarus Saniyyah Fir Roddi ‘Alal Wahhabiyah m/s 42: “ Wahhabiyah merupakan golongan pertama yang mengkafirkan umat islam 600 tahun sebelum mereka dan Muhammad bin Abdul Wahhab berkata: Aku membawa kepada kamu semua agama yang baru dan manusia selain pengikutku adalah kafir musyrik ”.
Sejarah membuktikan Wahhabi telah membunuh keturunan Rasulullah serta menyembelih kanak-kanak kecil di pangkuan ibunya ketikamana mereka mula-mula memasuki Kota Taif. (Sila rujuk Kitab Umaro’ Al-bilaadul Haram m/s 297 – 298 cetakan Ad-Dar Al-Muttahidah Lin-Nasyr).
Tokoh Wahhabi Abdur Rahman bin Hasan Aal-As-Syeikh mengkafirkan golongan Al-Asya’iroh yang merupakan pegangan umat islam di Malaysia dan di negara-negara lain. Rujuk kitabnya Fathul Majid Syarh Kitab Al-Tauhid m/s 353 cetakan Maktabah Darus Salam Riyadh. Seorang lagi tokoh Wahhabi iaitu Soleh bin Fauzan Al-Fauzan turut menghukum golongan Al-Asya’iroh sebagai sesat akidah dan bukan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Rujuk kitabnya Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam m/s 32 cetakan Riasah ‘Ammah Lil Ifta’ Riyadh.
Wahhabi bukan sahaja menghukum sesat terhadap ulama’ Islam bahkan umat islam yang mengikut mazhab pun turut dikafirkan dan dihukum sebagai musyrik dengan kenyataannya :
“ Mengikut mana-mana mazhab adalah syirik ”. Dan Wahhabi ini berani juga mengkafirkan Ibu bani adam iaitu Saidatuna Hawwa dengan kenyataannya:
“ Sesungguhnya syirik itu berlaku kepada Hawwa ”.
Tokoh Wahhabi tersebut Muhammad Al-Qanuji antara yang hampir dengan Muhammad bin Abdul Wahhab. Rujuk kenyataannya dalam kitabnya Ad-Din Al-Kholis juzuk 1 m/s 140 dan 160 cetakan Darul Kutub Ilmiah.
Maka fahaman ini menjadi kewajiban kepada Ulama‘ membongkar untuk diperjelaskan memandangkan ramai orang Islam yang terkeliru dengan propaganda aliran ini.
Aliran ini turut bertunjang kepada pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Khariji (al-Jauzi) antaranya:
Membawa konsep Bid‘ah yang bercanggah dengan Jumhur Ulama‘.
Mempromosi Bid‘ah dalam Usul (Aqidah) dan Furu‘.
Percangahan dalam masalah Aqidah:
1. Membawa kaedah tauhid “Tiga T” Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Asma’ Was Sifat, penyelewengan mereka dalam hal tersebut adalah kerana membeza-bezakan antara Tauhid Uluhiyyah dengan Tauhid Rububiyyah sehingga menghukum kesemua orang kafir juga beriman kepada Allah serta menetapkan Tauhid Asma’ Wa Sifat dengan erti yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah sejati bahkan lebih menjerumus kepada akidah Tajsim yang ditolak oleh ulama Islam, pembahagian tauhid mereka tersebut tidak pernah wujud di dalam sejarah ilmu tauhid Ahli Sunnah Wa al-Jama‘ah tulen.
2. Membawa fahaman “Tajsim dan Tasybih” iaitu menjerumus kepada menjisimkan Allah dengan mengatakan Allah itu adalah jisim dan menyamakan Allah dengan makhluk seperti menyifatkan Allah dengan sifat mulut, telinga, baying-bayang dan selainnya dari sifat yang tidak pernah Allah nyatakan dalam Al-Quran mahupun Al-Hadith.
3. Menolak Pengajian Sifat Dua Puluh.
4. Menghukum Syirik amalan tawassul, tabarruq, ziarah qubur dan isthtighathah.
5. Mengkafirkan dan membid’ahkan ramai Ulama’-Ulama’ yang diperakui kebenarannya di antaranya Imam Abu Hassan al-Asy‘ari, perumus aliran Ahlus Sunnah Wa al-Jama‘ah, Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar Al-Asqolany turut dihina oleh kelompok Wahhabi.
6. Mengelirukan pengertian Takwil , Ta‘til dan Tafwid.
7. Mendakwa dari golongan salaf.
8. Mendakwa sesiapa yang menta‘zimkan Nabi Muhammad membawa kepada syirik.
Percanggahan dalam Furu’ iaitu cabangan agama:
1. Menganggap talqin sebagai bid‘ah sesat.
2. Mengganggap amalan tahlil, yasin, kenduri arwah sebagai bid‘ah sesat.
3. Menganggap qunut Subuh sebagai bid‘ah.
4. Tidak ada qada’ bagi solat yang sengaja ditinggalkan.
5. Menggangap lafaz sayyiduna (taswid) dalam solat sebagai bid’ah sesat.
6. Menggerak-gerakkan jari sewaktu tahiyyat awal dan akhir.
7. Menggangap doa beramai-ramai selepas solat sebagai bid’ah sesat.
8. Menyatakan bahawa doa, zikir dan selawat yang tidak ada dalam al-Quran dan Hadis sebagai bid’ah sesat. Menganggap amalan bacaan Yasin pada malam Jumaat sebagai bid’ah yang haram.
9. Mengatakan bahawa sedekah pahala tidak sampai.
10. Menolak sambutan mawlid nabi, bahkan menolak cuti sempena hari Maulid Nabi Muhammad bahkan yang lebih teruk lagi menyamakan sambutan mawlud nabi dengan perayaan Kristian.
11. Menolak amalan barzanji/marhaban/berdiri sewaktu selawat. Sufiyyah dianggap sebagai terkesan dengan ajaran Budha dan Nasrani. Sebahagian ulama’ mereka menyeru agar Maqam Rasulullah dikeluarkan dari masjid nabawi atas alasan menjauhkan umat Islam dari syirik.
12. Menganggap amalan menziarahi maqam Rasulullah, para anbiya’, awliya’, ulama’ dan solihin sebagai bid‘ah sesat lagi syirik. Sering mengkritik aliran Sufi dan kitab-kitab Sufi yang mu‘tabar.
2.3 HIZBU TAHRIR.
1. Pengasas – Taqiuddin al-Nabhani. Berasal dari Palestin dan telah berhijrah ke Lubnan.
2. Di Lubnan tinggal di Ra’su al-Naba’ pada ahkir tahun 50an.
3. Dia merasakan dirinya sebagai Amir al-Mu’minin dan menamakan isterinya Lami’ah Um al-Mu’minin.
4. Mempunyai 3 orang anak: Taj, Usamah dan Ibrahim.
5. Mendakwa anak yang pertama sebagai pemerintah Syam, yang ke dua pemerintah Iraq dan yang ke tiga pemerintah Mesir.
6. Pergerakan ini banyak di United Kingdom.
7. Mengkafirkan pemerintah Muslim di mana-mana juga dunia Islam.
8. Ber‘aqidah seperti orang Mu‘tazilah, dengan menyakini segala perbuatan hamba adalah hasil ihtiyar hamba dan tiada kaitan dengan Allah. Dengan kata lain Af‘al hamba bukan ciptaan Allah. Tiada kaitannya dengan Qada’ dan Qadar. (Kitab al-Shahsiyah Islamiah).
9. Hidayah dan kesesatan adalah dari hamba dan tiada kaitannya dengan Allah. (al-Shahsiyah Islamiyah/kitab Nizom al-Islam).
10. Ma‘sum bagi para Ambiya’ adalah setelah di lantik, mereka sebelum di lantik adalah tiadak ma‘sum, dengan kata lain mereka terdedah dengan segala dosa. (Kitab al-Syahsiyah Islamiyah).
11. Majlis Syura mereka berhak memutuskan untuk keluar dari mematuhi pemerintah berdasarkan pemerintah yang ada, Fasiq yang nyata. (Kitab al-Shahsiyah Islamiyah/Dustur Hizbu Tahrir).
12. Sekiranya pemerintah yang ada bercanggah dengan Syara‘ dan tidak berkemampuan untuk menegakkan pemerintahan yang Islam berkewajiban keluar dari mematuhi pemerintah. (Nizom al-Islam). Di dalam Aqidah Ahlus Sunnah, wajib mematuhi pemerintah sekalipun zalim dan fasiq amal.
13. Barangsiapa tidak membai‘ah khalifah, mati dalam jahiliyah. Di dasari dengan katanya Nabi mewajibkan setiap orang Islam membai‘ah khalifah. (al-Syahsiyah Islamiyah).
14. Orang-orang Islam semuanya berdosa besar kerana gagal untuk melantik khalifah. Dan masa yang dimaafkan 2 malam, dan kalau malam yang ke 3 gagal maka berdosa. (al-Daulah al-Islamiyah).
15. Sebenarnya mereka mengajak kepada oramg ramai untuk membai‘ah peminpin mereka Taqiuddin al-Nabhani.
16. Perjalanan (safar) untuk melakukan maksiat adalah tidak berdosa, melainkan setelah melakukan perbuatan itu.
17. Mengharuskan salam dan bercium pipi bersama perempuan yang ajnabiyyah (bukan mahram).
Pelbagai lagi golongan yang tidak mengikut bahkan terkeluar dari aliran sebenar Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Semoga Allah menyelamatkan dan menetapkan iman sebenar di dalam hati kita.
PENUTUP
Ketahuilah bahawa illmu agama Islam lah menjadi asas kepada segala penyelesaian. Dalam keperitan umat Islam dan ulamanya menghadapi tentangan dan ancaman yang datang dari agama luar umat Islam turut memikul tanggung-jawab menyelesaikan permasaalahan yang terbit dari dalam, maka ilmu agama lah merupakan satu-satunya langkah terawal yang perlu ada dalam diri setiap insan yang bergelar muslim dan ilmu tersebut adalah ilmu aqidah bertepatan dengan kenyataan Nabi kepada umat ini Nabi kita Nabi yang tercinta: telah bersabda:
“ Tuntutlah ilmu, sesungguhnya ilmu diambil dengan belajar ,” dan Rasulullah turut bersabda: Janganlah kamu menuntut ilmu untuk menghina ulama Islam, janganlah kamu menuntut ilmu untuk mengutuk orang-orang jahil dan janganlah kamu menuntut ilmu bertujuan agar manusia memuji kamu, barangsiapa yang melakukan sedemikian maka dia dalam api neraka”.
Riwayat Ibnu Hibban.
Dengan ilmu dan amal serta mencegah dari kemungkaran juga beristiqomah dalam amalan ma’ruf kebaikan maka yakinlah bahawa kita telah hampir berada dalam kejayaan. Semoga kita dianugerahkan syurga oleh Allah ta’ala

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...