SAHABAT MADRASAH

Jumat, 23 Maret 2012

Asas tenaga nuklear disebut dalam al-Quran

maulanasufi
KERADIOAKTIFAN telah wujud secara semula jadi, tetapi perkara itu tidak diketahui sehinggalah akhir kurun ke-19, sedangkan di dalam al-Quran, sudah ada satu surah dikenali al-Hadid, yang memperkatakan mengenainya.


Istilah al-Hadid merujuk kepada logam besi. Di dalam keadaan semula jadi, besi wujud sebagai satu sebatian dengan logam dan galian lain, antaranya logam radioaktif seperti uranium, plutonium dan radium.


Apa yang menarik ialah firman Allah dalam ayat 25 Surah al-Hadid yang bermaksud: Pada besi itu, terdapat kekuatan yang amat kuat yang boleh memusnahkan manusia."


Kejadian letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki membuktikan kebenaran ayat ini sebagai bukti kekuasaan Allah yang menjadikan pada besi itu kekuatan yang terlalu besar. Setengah kilogram uranium dapat menghasilkan tenaga haba satu megawatt sehari. Bayangkanlah, jika sebuah negara itu mempunyai berjuta tan uranium yang disimpan untuk tujuan peperangan nuklear.


Hakikat keradioaktifan hanya diketahui pada akhir kurun ke-19 membabitkan dua perkara besar yang berlaku ketika itu, yang membenarkan penemuan radioaktif. Pertama, sinar-X yang ditemui pada 1985 oleh Wilhem Konrad Rontgen, yang didapati berupaya menghasilkan pendarflour pada kaca tiub sinar-X. Kedua, kajian oleh Henri Becquerel, yang mendapati bahawa, apabila kalium uranil sulfat diuja oleh sinaran ultra ungu, ia akan menghasilkan pendarflour.


Pengetahuan selanjutnya mengenai keradioaktifan diperluaskan oleh Pierre dan Marie Sklodowska Curie pada 1989. Marie Curie mendapati sinaran uranium yang dilaporkan oleh Becquerel juga boleh didapati daripada garam torium. Dalam kajiannya, suatu unsur baru yang menghasilkan keradioaktifan yang tinggi dijumpai daripada proses pemisahan menggunakan bijih uranium hingga mewujudkan satu sinaran yang sama sifat dengan sinar-X.


Kajian Earnest Rutherford mengenai daya penembusan sinar radioaktif, menunjukkan wujud tiga jenis sinaran, iaitu yang dapat diserap oleh kepingan alumunium nipis dinamakan alfa (a), yang dapat diserap oleh beberapa kepingan alumunium ialah beta (B), manakala yang tidak diserap dalam kedua-kedua bahan sebagai gamma (Y).


Sejak itu, pelbagai jenis kajian dilakukan oleh saintis untuk memahami sinaran radioaktif. Sifat sinaran seperti cas dan jisim diukur. Kini, sifat bahan dan sinaran radioaktif boleh diketahui dan difahami melalui beberapa kaedah dan teori tindak balas nukleus, tindak balas antara sinaran dan jisim, dan pereputan radioaktif hingga dapat menerangkan hampir segala fenomena yang ditemui.


Apabila stesen kuasa nuklear pertama dibuka pada 1950-an, teknologinya dianggap sebagai salah satu pencapaian besar dalam sains moden. Hari ini, banyak orang berpendapat, usaha membuat kuasa nuklear adalah kesilapan yang akan menimbulkan masalah besar bagi planet dan manusia. Namun, dengan pengendalian berhati-hati, ia boleh memberi manfaat.


Sebenarnya, masih ada harapan kuasa nuklear digunakan secara selamat dan terkawal. Kuasa ini banyak kegunaannya dalam bidang perubatan. Kemajuan berterusan bermakna kita boleh mengesan dan merawat penyakit serius termasuk barah.


Banyak perkara menakutkan mengenai tenaga nuklear. Sesetengah orang menyebutnya sebagai 'tenaga yang bukan semulajadi', sungguhpun cahaya dan haba yang diterima setiap hari daripada matahari, adalah hasil tindak balas termonuklear.


Kita harus benar-benar memahami sifat tenaga nuklear dan teknologi moden yang digunakan untuk memanfaatkannya. Kita harus belajar daripada kesilapan lalu dan jangan membiarkan rasa takut menghalang kemajuan. Satu perkara yang pasti ialah, kita sekarang hidup dalam apa yang dikatakan sebagai 'zaman nuklear'.


Jantung sebuah stesen kuasa nuklear terletak pada reaktornya. Berlaku satu tindak balas pembelahan nuklear terkawal yang menghasilkan banyak haba. Haba ini dibawa jauh oleh satu bahan pendingin yang beredar melalui teras reaktor dan digunakan untuk menjana stim dan kemudian memacu turbin untuk menjana tenaga elektrik.


Kuasa nuklear menghasilkan 15 peratus kuasa elektrik yang dijanakan di dunia. Pada sesetengah negara, reaktor penyelidik hanya menyediakan sedikit sumbangan pada bekalan elektrik. Pada negara lain pula, kuasa nuklear adalah sumber tenaga elektrik yang utama. Pada stesen kuasa elektrik, satu tan uranium yang digunakan sebagai bahan api untuk reaktor nuklear, menghasilkan sama banyak tenaga dengan 20,000 tan arang batu yang dibakar.


Selepas keghairahan awal tentang tenaga nuklear berkurangan, kita sedar bahawa kuasa ini memerlukan kawalan yang berhati-hati dan mahal bagi memastikan keselamatan awam di samping beberapa masalah jangka panjang. Sumber lain, terutamanya pembakaran bahan fosil, mempunyai masalah tersendiri. Lagipun, bahan api fosil tidak kekal dan mungkin akan kehabisan menjelang pertengahan abad akan datang. Jika kita mahu terus menggunakan tenaga, maka kita terpaksa bergantung kepada sumber alternatif.


Kuasa nuklear adalah salah satu alternatif yang mempunyai potensi untuk digunakan. Namun, kita harus mengambil langkah selamat untuk memastikan tidak berlaku kesan sampingan tidak diingini. Kegunaan sinaran dalam bidang lain agak kurang menimbulkan perbalahan, terutama dalam bidang perubatan. Tiada sesiapapun yang boleh mengenepikan kemajuan diagnosis dan rawatan yang dicapai oleh perubatan nuklear.

Sabtu, 10 Maret 2012

Cara Mandi Mayat

maulanasufi

Cara Mandi

Sebelum Mandi
  1. Dibersihkan najis mayat (meruang) dan membersihkan segala kekotoran atau getah, cat, plaster dan sebagainya yang terlekat pada badan atau kuku mayat. Hendaklah mengosongkan perut terlebih dahulu - kalau ada benda-benda kotor yang boleh keluar, supaya tidak lagi keluar sesudah ia dimandi dan dikafankan.
          
    Caranya: Dudukkan mayat (di atas papan mandi) dalam keadaan condong sedikit ke belakang, dan menahan belakangnya dengan lutut kanan sambil memegang belikatnya dengan tangan kanan (dengan meletak ibu jari di tengah-tengah tengkuknya supaya kepalanya tegak), dan urut perutnya perlahan-lahan dengan tangan kiri.
    Siram air banyak-banyak untuk membersihkan benda-benda yang keluar.
    Setelah dikosongkan perut dan dbersihkan benda yang keluar, hendaklah ditelentangkan semula mayat itu di atas papan mandi dan dicebokkan oleh orang yang memandikannya dengan membersihkan kemaluan dan celah-celahnya (menggunakan sarung tangan).
  2. Dengan sarung tangan bersih, tukang mandi hendaklah membersihkan gigi mayat, lubang hidunganya, lubang telinga dan celah-celah kukunya. Kemudian diwudhu'kan dengan sempurna (meliputi yang fardhu dan sunat). Setelah itu baru dimandikan - dari bahagian kepala hingga ke hujung kaki - meliputi seluruh tubuhnya.
Cara Mandi
  1. Basuh seluruh kepala, muka dan lehernya 3 kali.
  2. Basuh sebelah kanan (lambung kanan) meliputi bahu, ketiak, tangan kanan, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kanan hingga ke hujung kaki kanan 3 kali.
  3. Basuh sebelah kiri (lambung kiri) meliputi bahu, ketiak, tangan kiri, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kiri hingga ke hujung kaki kiri 3 kali.
  4. Kemudian diiringkan rusuk kanan ke atas dan basuh lambung kanannya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kanan dan terus ke hujung kaki kanannya 3 kali.
  5. Kemudian diiringkan rusuk kiri ke atas dan basuh lambung kirinya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kiri dan terus ke hujung kaki kirinya 3 kali.
  6. Cara mandi ini pertama dibuat dengan menggunakan air sabun.
    Kemudian dimandikan dengan air bersih, dilakukan seperti cara mandi dengan sabun, tujuannya untuk membersihkan segala air sabun tadi. 
         
    Setelah bersih, diwudhu'kan dengan niat,
    " Sahaja aku wudhukan mayat ini kerana Allah"
    Lafaz niat bagi lelaki:
    "Nawaitul wudhu 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
    Lafaz niat bagi perempuan:
    "Nawaitul wudhu' 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"
    Kemudian mandi dengan air bercampur kapur barus. Caranya air bersih dicampur sedikit air kapur barus yang sekira-kiranya tidak mengubah hukum air mutlak, kemudian dijirus sunat diniatkan:
    " Sahaja aku mandi mayat ini kerana Allah Taala" 
    Lafaz niat bagi lelaki:
    "Nawaitul ghusl 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
    Lafaz niat bagi perempuan:
    "Nawaitul ghusl 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"
    Proses mandi ini sama juga seperti mandi dengan air sabun dan air bersih yang lalu. Kemudian ulang 2 kali dengan menambah kapur barus lebih tua sedikit supaya baunya lebih keras. 
    Semasa menjirus, sunat membaca:
          "Ghufranak rabbana rahman wailakal masir"                                        
    Jadi hasilnya jumlah mandi mayat kesemuanya lima kali iaitu :
    . Satu kali mandi dengan air sabun.
    . Satu kali mandi dengan air bersih.
    . Tiga kali mandi dengan air kapur barus.
    Perlu diingat perbuatan membasuh mayat dengan air bercampur sabun (atau serbuk daun bidara) kemudian membilasnya, tidak dikira. Itu hanya seperti membersihkan badannya.
    Yang diambil kira ialah mandi yang akhir, iaitu memandikan mayat dengan air yang dicampurkan sedikit kapur barus.

Kamis, 08 Maret 2012

CERITA KAABAH YANG RAMAI ORANG TAK TAHU....



Mekah merupakan tanah suci bagi umat Islam di mana berdirinya sebuah struktur hebat iaitu Kaabah yang menjadi tidak, lambang dan panduan qiblat untuk semua umat Islam di seluruh dunia. Berikut adalah 15 perkara tentang Kaabah dari sudut sains yang tidak diketahui ramai.

1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.


2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.

3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.


4. graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi.

5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.

7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.


8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itu lah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.

9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.

10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.


11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.

12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Ka abah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.

13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.

14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma(lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.

15. Selepas selesai semua itu baru lah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.

Selasa, 28 Februari 2012

Hukum 'Chatting', Facebook Chat Dengan Bukan Mahram

Saya ingin bertanya tentang hukum saya berkomunikasi dengan bukan mahram saya melalui internet samada 'chatting' atau perbualan-perbualan melalui facebook, email dan sebagainya. Saya seorang wanita muslimah yang masih menuntut di IPT. Bentuk perbualan saya selalunya bukan perkara penting; cuma sembang-sembang dan menyampuk-nyampuk maklumat yang ada dalam facebook mereka.

Begitu juga kawan-kawan lelaki saya akan membalas perbualan tersebut. Begitulah hari demi hari kami saling berhubungan tanpa sekatan di alam siber sedangkan di alam nyata kami menjaga batas-batas hubungan lelaki dan wanita bukan mahram ini.

- Gadis Muslimah

Terima kasih atas pertanyaan itu.

Gadis Muslimah dan semua wanita muslimah yang membaca soaljawab ini,

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa, komunikasi dengan tulisan melalui jaringan internet atau yang lebih dikenal dengan 'chatting' baru muncul dan popular beberapa tahun terakhir. Yaitu, tepatnya setelah ditemui jaringan internet. Karena itu dalam kitab-kitab ulama terdahulu khususnya buku fiqh, istilah ini tidak akan ditemui. Namun asas bagi hukum 'chatting' ini sebenarnya sudah dibahas oleh ulama, jauh sebelum jaringan internet ditemukan.

'Chatting' dengan lawan jenis yang bukan mahram sama halnya dengan berbicara melalui telepon, SMS, dan berkiriman surat. Semuanya ada persamaan. Iaitu sama-sama berbicara antara lawan jenis yang bukan mahram. Persamaan ini juga mengandung adanya persamaan hukum. Karena itu, ada dua perkara berkaitan yang perlu kita bahas sebelum kita lebih jauh membicarakan hukum 'chatting' itu sendiri.

Pertama, adalah hukum bicara dengan lawan jenis yang bukan mahram.

Kedua, adalah hukum khalwat.


Berbicara antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram pada dasarnya tidak dilarang apabila pembicaraan itu memenuhi syarat-syarat yang sudah ditentukan oleh syara'. Seperti pembicaraan yang mengandungi kebaikan, menjaga adab-adab kesopanan, tidak menyebabkan fitnah dan tidak khalwat. Begitu jika hal yang penting atau berhajat umpamanya hal jual beli, kebakaran, sakit dan seumpamanya maka tidaklah haram.

Dalam sejarah kita lihat bahwa isteri-isteri Rasulullah SAW berbicara dengan para sahabat, ketika menjawab pertanyaan yang mereka ajukan tentang hukum agama. Bahkan ada antara isteri Nabi SAW yang menjadi guru para sahabat selepas wafatnya baginda iaitu Saidatina Aisyah RA.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang artinya:

"Karena itu janganlah kamu (isteri-isteri Rasul) tunduk(yakni melembutkan suara) dalam berbicara sehingga orang yang dalam hatinya ada penyakit memiliki keinginan buruk. Tetapi ucapkanlah perkataan yang baik". (QS. al-Ahzab: 32)

Imam Qurtubi menafsirkan kata 'Takhdha'na' (tunduk) dalam ayat di atas dengan arti lainul qaul (melembutkan suara) yang memberikan rasa ikatan dalam hati. Yaitu menarik hati orang yg mendengarnya atau membacanya adalah dilarang dalam agama kita.

Artinya pembicaraan yang dilarang adalah pembicaraan yang menyebabkan fitnah dengan melembutkan suara. Termasuk di sini adalah kata-kata yang diungkapkan dalam bentuk tulisan. Karena dengan tulisan seseorang juga bisa mengungkapkan kata-kata yang menyebabkan seseorang merasakan hubungan istimewa, kemudian menimbulkan keinginan yang tidak baik.

Termasuk juga dalam melembutkan suara adalah kata-kata atau isyarat yang mengandung kebaikan, namun ia boleh menyebabkan fitnah. Iaitu dengan cara dan bentuk yang menyebabkan timbulnya perasaan khusus atau keinginan yang tidak baik pada diri lawan bicara yang bukan mahram. Baik dengan suara ataupun melalui tulisan.

Jika ada unsur-unsur demikian ia adalah dilarang meskipun pembicara itu mempunyai niat yang baik atau niatnya biasa-biasa saja.

Adapun khalwat, hukumnya dilarang dalam agama Islam. Sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW yang artinya:

"Janganlah ada di antara kalian yang berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dengan mahramnya." (HR. Bukhari dan Muslim)

Khalwat adalah perbuatan menyepi yang dilakukan oleh laki-laki dengan perempuan yang bukan mahram dan tidak diketahui oleh orang lain. Perbuatan ini dilarang karena ia dapat menyebabkan atau memberikan peluang kepada pelakunya untuk terjatuh dalam perbuatan yang dilarang.

Kerana ada sabda Nabi SAW bermaksud:

"Tiadalah seorang lelaki dan perempuan itu jika mereka berdua-duaan melainkan syaitanlah yg ketiganya." (Hadis Sahih)

Khalwat bukan saja dengan duduk berduaan. Tetapi berbual-bual melalui telepon di luar keperluan syar'i juga dikira berkhalwat. Karena mereka sepi dari kehadiran orang lain, meskipun fisikal mereka tidak berada dalam satu tempat. Namun melalui telepon mereka lebih bebas membicarakan apa saja selama berjam-jam tanpa merasa dikawal oleh sesiapa

Dan haram juga ialah perkara-perkara syahwat yang membangkitkan hawa nafsu contohnya yang berlaku pada kebanyakkan muda-mudi atau remaja-remaja sekarang dimana sms atau email atau Facebook atau seumpamanya menjadi alat untuk memadu kasih yang memuaskan nafsu di antara pasangan dan masing-masing melunaskan keinginan dan keseronokkan semata-mata. Membincangkan perkara-perkara lucah lebih-lebih lagi hukumnya adalah haram.

Kesimpulan :

Hukum chatting sama dengan menelepon sebagai mana yang sudah kita terangkan di atas. Artinya chatting di luar keperluan yang syar'i termasuk khalwat. Begitu juga dengan sms. Walaupun dengan niat berdakwah. Karena berdakwah kepada jenis lawan bukanlah suruhan agama kerana Allah telah menetapkan untuk berdakwah kepada lelaki adalah lelaki juga, begitu juga sebaliknya.

Namun bila ada tuntutan syar'i yang darurat, maka itu diperbolehkan sesuai keperluan. Tentunya dengan syarat-syarat yang sudah kita jelaskan di atas. Di sinilah menuntut kejujuran kita kpd Allah dalam mengukur sejauhmana urusan kita itu satu keperluan atau mengikut nafsu semata-mata. Dan kejujuran itu pula bergantung sejauhmana iman kita kepada Allah. Jika muraqabatillah kita kuat (yakni merasa diri sentiasa dalam pandangan Allah), maka itu yang akan menjadi pengawal kita. Jika tidak maka kita akan hanyut bersama orang-orang yang terpedaya dengan teknologi moden ini. Na'uzubillah.

Agak menyedihkan juga dengan kenyataan saudari, bahawa dalam suasana nyata saudari amat menjaga batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram, namun di alam siber saudari bebas berbual mesra tanpa batasan syara'. Saya percaya ramai remaja muslimah yang terjebak ke dalam situasi yang syubhah ini.

Internet sangat baik untuk kita, dimana ia memudahkan banyak urusan kita tapi jika kita menyalahgunakannya akan membawa akibat buruk kepada akhlak dan masyarakat kita.

Semoga jawapan ini dapat memandu para muslim dan muslimah remaja atau dewasa dalam melayari kehidupan yang penuh ujian keimanan ini.

Alangkah bahagianya jika para remaja muslim dan muslimah yang terdiri daripada para intelek hari ini berpegang teguh kepada tali agama iaitu taat kepada perintah dan larangan Allah dalam setiap urusan hidupnya. Semoga dengan itu Allah akan menurunkan rahmah-Nya kepada kita semua.

Dan semoga Allah menjauhkan kita dari segala fitnah dunia yang sangat manis pada pandangan mata.

Demikian yang dapat saya sampaikan. Semoga mendapat manfaat.

Wallahu a'lam.

Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad, IKRAM Johor

Minggu, 12 Februari 2012

TANDA-TANDA SEBELUM SAKARATULMAUT

maulanasufiTANDA-TANDA SEBELUM SAKARATULMAUT.
Orang yg bijak adalah orang yg sentiasa mengingati mati.

• Tanda 100 hari sebelum sakaratulmaut.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

• Tanda 40 hari sebelum hari mati.

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.

Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

• Tanda 7 hari.

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

• Tanda 3 hari.

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

• Tanda 1 hari.

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

• Tanda akhir.

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Wallahua’lam..


"Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
(1) orang-orang yang beriman, (2) dan yang beramal soleh
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran (4) dan yang berpesan2 pada kesabaran".
~Surah Al-'Asr.

Rabu, 08 Februari 2012

Antara Persoalan Sebelum Bertunang

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.
Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.
Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.
Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.
Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.
Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.
Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil.
Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.
10 soalan itu adalah:
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.
Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.
Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.
Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.
Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.
Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.
Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi.
Orang macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.
Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.
Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.
Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.
Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.
Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.
Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.
Oleh: Ustazah Maznah Daud
Wallahu’alam….

Jumat, 20 Januari 2012

Bahaya Asyik Layan Facebook

maulanasufiSuatu ketika dulu kompleks membeli-belah merupakan dan tempat awam menjadi lokasi tumpuan melepak remaja. Apabila wujud program Internet Relay Chat (IRC), pengguna internet dari pelbagai peringkat umur mengambil kesempatan perkembangan teknologi tersebut bukan sekadar untuk berinteraksi tetapi sebagai tempat melepak baru.
IRC telah menimbulkan kesan yang besar secara positif atau negatif terhadap hubungan sosial sama ada untuk masyarakat setempat mahupun antarabangsa.
Paling menguja apabila saluran Kampung yang dikendalikan warga Malaysia pernah dikatakan menerima bilangan chatters terbesar di dunia. Namun, perkara yang memburukkan rekod ini apabila IRC disalahgunakan sehingga mencetus jalinan hubungan cinta hingga tahap kekasih gelap, perceraian dan perzinaan.
Dengar-dengarnya fenomena yang serupa berlaku kepada segelintir pengguna jaringan media sosial Facebook (FB). FB mula menjadi kegilaan ramai remaja sejak ia dilancarkan pada 2004.
Sepertimana IRC, FB bukan sahaja digunakan golongan remaja, malah merangkumi pengguna kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Walaupun terdapat khidmat jaringan sosial lain, namun FB merupakan khidmat jaringan sosial terbesar di dalam dunia. Terdapat kira-kira 800 juta pengguna aktif direkodkan sehingga Julai 2004.
Lepak alam maya
Melepak dalam bahasa mudah ialah duduk tanpa melakukan perkara yang berfaedah. Kewujudan khidmat jaringan sosial seperti FB menyediakan pilihan baru kepada golongan remaja untuk melepak. Seseorang yang melepak menggunakan FB kadangkala lebih lama daripada melepak di tempat awam.
Sembang dengan rakan FB yang tidak tentu hujung pangkal bukan mengambil masa sejam dua malah berbelas-belas jam sehari! Apakah bahan sembang golongan kaki lepak FB ini?
Antara lain ialah perkembangan semasa yang menarik perhatian rakan sembang. Mereka bersembang antara lain mengenai muzik, penyanyi dan fesyen. Kepada yang memang memiliki daya tarikan tertentu mungkin dari segi jantina, rupa atau gaya bahasa biasanya mudah dikerumuni rakan sembang. Sekali buat posting, berpuluh-puluh orang tekan butang like. Berpuluh-puluh orang juga memberi komen hanya dalam beberapa minit.
Beberapa kesan negatif hasil penggunaan media sosial berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan Larry D Rosen dari California State University, Dominguez Hill. Kajian yang dibentangkan American Psychological Association di konvensyen tahunan ke 119 mendapati penggunaan FB berpotensi membentuk narcissism pada remaja belasan tahun.
Narcissism ialah istilah psikologi yang merujuk kepada karakter yang memerlukan perhatian dan diminati secara berlebih-lebihan. Remaja awal dua puluhan yang sering menggunakan FB pula menunjukkan tanda beberapa masalah psikologi seperti perangai antisosial, peningkatan mood secara keterlaluan dan berkelakuan agresif.
Keseronokan dunia
Kajian sama juga mendapati penggunaan jaringan media sosial juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan kanak-kanak dan remaja belasan tahun. Mereka mudah mengalami keresahan, kemurungan dan masalah psikologi lain. Mereka juga terdedah kepada masalah kesihatan pada masa jangka panjang.
Selain keburukan tersebut, FB juga didapati menyebabkan seseorang hilang fokus. Keadaan ini secara negatif akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran. Beberapa kajian mendapati pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi yang menjenguk FB sekurang-kurangnya setiap lima belas minit sekali mencapai gred yang rendah.
Kajian Dr Larry R Rosen mendapati beberapa kebaikan penggunaan jaringan media sosial. Ia berupaya menjadikan seseorang secara virtual mengambil tahu terhadap diri rakan atas talian. Ia juga membantu seseorang yang pemalu atau suka memencilkan diri belajar berinteraksi. Jaringan sosial media juga dapat membantu pelajar berinteraksi untuk meningkatkan pemahaman dalam bidang pendidikan.
Saya ingatkan diri saya dan pengguna khidmat jaringan sosial tersebut menyedari bahawa sesungguhnya masa adalah kurniaan ALLAH yang amat bermakna kepada sesiapa yang benar-benar memanfaatkannya.
Masa tidak akan berundur malah sentiasa bergerak ke hadapan. Umur seseorang diukur menggunakan masa. Mereka yang menggunakan masa untuk perkara bermanfaat akan beruntung di dunia dan akhirat.
Manakala mereka yang mensia-siakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah akan hanya mengecap keseronokan di dunia tetapi mereka akan rugi di akhirat.
Dilahirkan untuk diuji
ALLAH melahirkan setiap anak Adam ke dunia untuk menjalani ujian-NYA seperti firman-NYA yang bermaksud, “(ALLAH) Yang menjadikan mati dan hidup, agar DIA menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan DIA MAHA PERKASA lagi MAHA PENGAMPUN.” (Surah Al-Mulk: 2).
Sebagai hamba-NYA, sepatutnya merasa sangat kerdil di hadapan Rabb yang MAHA PERKASA. Namun seseorang yang mengaku kesalahan yang dilakukan, bertekad tidak mengulangi lagi serta mohon ampunan daripada-NYA secara bersungguh-sungguh akan diampuni-NYA.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada KAMIlah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya : ayat 35).
Sesungguhnya jaringan media sosial menyediakan kemudahan untuk pengguna berinteraksi. Namun kemudahan yang dicipta dengan izin ALLAH ini sepatutnya digunakan secara berpada-pada.
Penggunaan jaringan media sosial sepatutnya ditumpukan dalam pelbagai aktiviti bermanfaat seperti mengerat hubungan silaturahim secara jujur dan ikhlas, menyertai kumpulan forum yang membawa kebaikan, belajar mempromosi produk dan khidmat, serta bertukar-tukar maklumat berguna.
Menyentuh konteks penggunaan masa, hadis yang diriwayatkan Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan ilmunya apa yang telah dibuatnya” – (Riwayat At Tirmidzi)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...